Najib hadapi 3 tuduhan ubah wang haram RM42 juta milik SRC

Najib tiba di Mahkamah Sesyen hari ini untuk berdepan 3 pertuduhan baru. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas 3 pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam 2 akaun miliknya, 4 tahun lepas.

Najib, 65, membuat pengakuan itu di depan Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah 1, Datuk Azman Abdullah.

Bagi pertuduhan pertama hingga ke-3, Najib didakwa menerima wang masing-masing berjumlah RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta yang merupakan hasil aktiviti haram, melalui Real Time Electronic Transfer of Funds and Securities (Rentas) dalam 2 akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya bernombor 2112022011880 dan 2112022011906.

Beliau dituduh melakukan semua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini, antara 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang 5 kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 4 Julai lalu, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini terhadap 3 pertuduhan pecah amanah dan 1 pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International.

Najib kelihatan tenang semasa jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan satu persatu kepadanya.

Jurubahasa: Datuk Seri faham pertuduhan?

Najib: Faham

Jurubahasa: Datuk Seri mengaku bersalah atau tidak?

Najib: Tidak mengaku, minta dibicarakan.

Ketua Unit Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria memohon kes itu digabungkan dengan 3 kes pecah amanah dan 1 kes salah guna kuasa yang dihadapi Najib sebelum ini di Mahkamah Jenayah Tinggi 3.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib tidak membantah permohonan itu.

“Empat tuduhan itu adalah ‘predicate offences’, manakala 3 tuduhan baru boleh dikatakan ‘subsidiary offences’. Adalah wajar kes ini disatukan dan didengar dengan 4 tuduhan itu di Mahkamah Tinggi 3.”

Hakim membenarkan permohonan pendakwaan dan memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Jenayah 3 di depan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali untuk digabungkan dan hujahan berkaitan jaminan.