
Singapura pernah memilih baju batik sebagai pakaian sempena sambutan Hari Kebangsaan republik itu yang jatuh pada 9 Ogos, 2 tahun lalu (2016).
Baju batik itu direka oleh pelukis batik terkenal negara itu, Sarkasi Said.
Batik adalah seni tekstil yang dipopularkan sejak abad ke 15 dan diperkenalkan di Malaysia (menurut rekod) di negeri Kelantan sejak tahun 1910.
Walaupun berasal dari Indonesia di mana perkataan Jawa ‘tik’ yang bermaksud menitik atau menulis titik-titik dan ‘ambatik’ pula bermaksud melukis, menulis, mewarna atau menitik, Malaysia memilih batik sebagai salah satu perusahaan seni yang diiktiraf dengan pengaruh budaya dan gaya hidup.
Kegunaan seni batik diutamakan dalam pelbagai acara dan majlis, malah ia juga diajar di sekolah sebagai pendekatan kepada murid-murid terhadap budaya milik Nusantara ini.

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia menerusi program Jelajah 1Murid 1Kraf (J1M1K) misalnya mengadakan pelbagai inisiatif mengembangkan ilmu pembelajaran seni batik dan industri tersebut kepada umum.
Banyak lagi pihak yang menyumbang kepada pemerkasaan seni batik sama ada dalam kraftangan, tekstil, seni lukis mahupun fesyen.
FMT Ohsem turut meninjau sedikit sebanyak pengaruh batik di dalam budaya kita dan seluruh dunia melampaui pemahaman umum batik sebagai seni Nusantara Melayu tetapi sebenarnya pengaruh seni tidak tidak terbatas di kepulauan ini sahaja.

Berikut beberapa fakta menarik mengenai seni batik:
- Seni batik adalah dari Indonesia tetapi tekniknya dikesan berusia lebih seribu tahun, kemungkinannya berasal dari Mesir kuno atau Sumeria.
- Teknik ini juga dikesan di beberapa negara di Afrika Barat seperti Cameroon, Mali dan Nigeria; atau di Asia, seperti Jepun, Bangladesh, India, Indonesia, Iran, Malaysia, Sri Lanka dan Thailand.
- Batik adalah seni halus yang menjadi warisan budaya Indonesia sehingga keseluruhan teknik, teknologi dan pengembangan motif ditetapkan sebagai Warisan Kemanusiaan untuk Budaya Lisan dan Nonbendawi (Masterpieces of the Oral and Intangible Heritage of Humanity) sejak 2 Oktober 2009 oleh UNESCO.
- Tahukah anda pada 17 Januari 2008, semua kakitangan awam lelaki di Malaysia disarankan memakai baju batik Malaysia pada setiap hari Khamis? Terdahulu peraturan yang sama pernah digunapakai untuk hari Sabtu.
- Oleh kerana kurang sambutan, ia diubah kepada 1 hari bulan dan 15 hari bulan namun amalan itu pudar.
- Bagaimanapun anda dibenarkan memakai batik untuk mana-mana urusan rasmi.
- Indonesia mengisytiharkan 2 Oktober sebagai Hari Batik Nasional.
- Batik menjadi rekaan bagi pakaian seragam 3 syarikat penerbangan dunia iaitu Singapore Airlines, Garuda Indonesia dan Malaysian Airlines.
- Selain itu krew pramugari Batik Airline dari Indonesia dan Malindo Airline dari Malaysia juga menggunakan motif batik dalam pakaian seragam mereka.
- Bercakap mengenai batik di Malaysia, kita tidak boleh melupakan sumbangan isteri bekas Perdana Menteri ke-4, Tun Abdullah Ahmad Badawi iaitu Datin Paduka Seri Endon Mahmood.
- Endon terlibat secara giat dalam mempromosi seni fabrik warisan negara, batik di arena antarabansa dan dipilih sebagai “Tokoh Jarum Berlian Malaysia 2004” kerana daya usahanya memartabatkan seni warisan negara.
- Sama seperti sampin, pemakaian sarung batik juga pernah mempunyai maksud terselindung yang mungkin ramai tidak tahu.
- Jika kepala kain diikat di belakang, maknanya anda sudah berkahwin
- Jika kepala kain diikat di hadapan, maknanya anda masih anak dara
- Bagi kepala kain di sebelah kiri, bermakna seseorang itu kematian suami atau balu
- Kepala kain sebelah kanan pula memberi indikasi wanita itu seorang janda yang bercerai hidup