
Low, melalui kenyataan jurucakap beliau kepada FMT berkata, penyerahan kapal itu kepada pihak berkuasa Malaysia mendedahkan akibat undang-undang yang akan berlaku ke atas bakal pembelinya.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa penahanan tersebut tidak sah, dan berkata langkah Malaysia mendahului pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) apabila mendakwa ketibaan kapal tersebut di perairan negara ini dibuat selepas mengadakan perundingan dengan AS.
“Salah kenyataan yang diulang-ulangkan oleh Malaysia memalukan AS, yang menegaskan ia tidak terlibat dengan penahanan tidak sah kapal tersebut dan akan memaklumkan perkembangannya kepada mahkamah di negara itu pada 17 Ogos ini,” kata Low.
“Jelas rejim Mahathir tidak berminat dengan proses undang-undang yang adil dan sah. Tindakan beliau mendahului prosiding undang-undang yang mantap dan menjadi amalan sejak sekian lama di negara lain melibatkan kerajaan negara berkenaan (seperti di AS) dalam kes Equanimity tanpa diragukan lagi mengesahkan perkara ini.”
Kapal bernilai AS$250 juta itu kini ditahan di pusat kapal pesiaran di Pelabuhan Klang sejak tiba di perairan negara Selasa lepas.
Equanimity menjadi tumpuan penyiasatan AS ke atas syarikat pelaburan negara, 1MDB, dan dikaitkan dengan Low, yang didakwa membeli kapal itu menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB.
Baru-baru ini polis Indonesia menahan kapal mewah tersebut atas permintaan pihak berkuasa AS dan menyerahkannya kepada Malaysia berikutan lawatan Dr Mahathir ke Jakarta.
Low mengutuk apa yang dinamakannya “perbicaraan oleh media” oleh pentadbiran Dr Mahathir.
“Perbicaraan oleh media yang dilakukan oleh Mahathir menyebabkan mustahil perkara ini dihakimi dengan adil, terutamanya di bawah rejim beliau, yang memanipulasi sistem perundangan Malaysia seperti yang berlaku dalam krisis kehakiman 1988,” menurut kenyataan itu lagi, merujuk kepada tindakan Dr Mahathir memecat beberapa orang hakim kanan sewaktu pertama kali menjadi perdana menteri sebelum ini.
“Dakwaan yang dibuat beliau tersebar ke seluruh dunia lebih setahun lepas dan telah diulang-ulangkan ribuan kali. Justeru Low telah didapati bersalah oleh rejim Mahathir hatta sebelum satu cebis bukti pun dikemukakan kepada mahkamah AS,” tambah kenyataan itu.