Peminum tegar ketum tetak anak 5 tahun hingga mati

Peminum tegar ketum tetak anak 5 tahun hingga mati

Ketika kejadian, mangsa sedang tidur di ruang tamu rumah mereka sebelum suspek berusia 35 tahun menetaknya di kepala dan pergelangan tangan kanan.

Free Malaysia Today
Suspek merupakan peminum tegar air ketum selain positif dadah jenis syabu. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Polis tidak menolak kemungkinan pengaruh ketagihan air ketum dan dadah antara punca seorang bapa bertindak menetak hingga mati anaknya berusia 5 tahun di sebuah rumah di Flat Puchong Permai di Subang Jaya, petang semalam.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang tidur di ruang tamu rumah mereka yang terletak di tingkat 4 flat berkenaan sebelum suspek, 35 tahun, menetak anaknya di kepala dan pergelangan tangan kanannya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Mohammad Azlin Sadari berkata siasatan awal mendapati suspek merupakan peminum tegar air ketum selain positif dadah jenis Methamphetamine (syabu), hasil saringan air kencing.

“Selepas membunuh mangsa, suspek dikatakan meletak mayat anaknya di luar pintu rumah dan dia mengurung diri di dalam. Suspek juga mengaku membunuh anaknya itu selepas mendengar suatu suara menyuruhnya berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan.

Mohammad Azlin berkata suspek kini ditahan dan polis menemukan senjata digunakan iaitu parang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.