Permit mengajar 2 guru dera murid di tadika Melaka ditarik balik

Kejadian 2 guru mendera murid itu berlaku di sebuah tadika swasta berdaftar dengan Kementerian Pendidikan di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, Melaka. (Gambar Youtube)

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan menarik balik permit mengajar 2 guru yang mendera murid di sebuah tadika swasta di Melaka yang tersebar di media sosial semalam.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata, langkah itu bagi memastikan mereka tidak lagi mempunyai sebarang interaksi dengan murid atau bertugas di tadika berkenaan.

“Pihak pengusaha turut diberi amaran keras berkaitan kecuaian dalam pengoperasian mengendalikan pendidikan kepada kanak-kanak dalam kohort umur 4 dan 5 tahun,” katanya.

Kementerian itu berkata, kejadian tersebut berlaku di sebuah tadika swasta berdaftar dengan Kementerian Pendidikan di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh.

Kementerian Pendidikan turut mengarahkan Jabatan Pendidikan Melaka membantu pengurusan dan pengoperasian tadika semasa sesi pembelajaran berlangsung.

Kementerian itu berkata, ia turut menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan lanjut ke atas guru terbabit, susulan laporan polis dibuat Sabtu lalu oleh pengurus tadika tersebut.

Menurut laporan media, 2 guru berusia 21 dan 40 tahun itu ditahan polis Sabtu lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.

Video pertama selama 2 minit 10 saat menunjukkan tindakan seorang guru mengangkat kanak-kanak perempuan di pusat itu dan meletakkannya di atas tubuh seorang kanak-kanak lelaki yang terbaring.

Sementara video ke-2 selama 36 saat menunjukkan tindakan salah seorang guru terbabit menampar seorang kanak-kanak lelaki sehingga terjatuh dari kerusi.