Wanita maut ditembak dalam cubaan ragut di Myanmar

Wanita maut ditembak dalam cubaan ragut di Myanmar

Mangsa yang membonceng motosikal bersama suaminya di Chanmyathazi, ditembak di bahagian kepala sementara suaminya ditembak di bahagian dada dan kini kritikal.

Free Malaysia Today
Polis Myanmar berkata motif serangan masih disiasat dan kes jenayah dibuka terhadap suspek. (Gambar Reuters)
YANGON:
Seorang wanita berusia 40 tahun terbunuh dalam satu insiden tembakan di Mandalay, bandar ke-2 terbesar di utara Myanmar, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan media tempatan pada Selasa.

Agensi Berita Myanmar melaporkan dalam insiden itu, seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal, cuba meragut beg tangan mangsa, Ma Huo Lao Peng, yang membonceng motosikal bersama suaminya di perbandaran Chanmyathazi pada Isnin.

Menurut saksi, suspek melepaskan 3 tembakan ke arah pasangan itu yang terkena Ma di bahagian kepala menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala suaminya, U Li Swam, cedera di bahagian dada.

Dia kemudian dikejarkan ke hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Penduduk tempatan dan polis kemudian memberkas suspek dan merampas sebuah motosikal, sepucuk pistol, 22 butir peluru, 2 kartrij serta 1 kelongsong peluru.

Suspek dikenal pasti sebagai Khun Kaw Lar dari perbandaran Kyautalongyi, yang terletak di selatan negeri Shan.

Polis berkata motif serangan masih disiasat dan satu kes jenayah dibuka terhadap lelaki itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.