
Ahli perniagaan itu berikrar tidak akan menyerah diri kepada mana-mana kuasa di mana kesalahan “telah ditentukan lebih awal”.
Pendakwaraya persekutuan AS berkata peranan mereka dalam serahan kapal itu hanyalah menasihatkan anak kapal Equanimity mematuhi arahan kerajaan Indonesia, yang menahan kapal 100 meter tu, menurut dokumen mahkamah di Los Angeles semalam.
Peguam mewakili syarikat yang memegang hak milik ke atas kapal itu minggu lepas meminta seorang hakim persekutuan AS mengarahkan Jabatan Kehakiman memberikan penjelasan terperinci sama ada agensi atau pegawai kerajaan AS tahu lebih awal atau terlibat dalam penghantaran Equanimity ke Malaysia.
Peguam merujuk kenyataan daripada peguam negara yang berterima kasih kepada AS kerana membantu dalam sitaan kapal itu.
Kapal itu tiba di Pelabuhan Klang pada 7 Ogos selepas ia berlayar ke Indonesia, di mana ia disita pada Februari dalam siasatan DoJ ke atas kes berkaitan 1MDB.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru pemilik kapal itu membuktikan ia tidak dibeli menggunakan wang daripada 1MDB, yang terkait dalam siasatan penggelapan dan pengubahan wang di serata dunia.
Low berkata langkah Malaysia mendapatkan kapal itu “tidak sah”.
Tidak mengejutkan apabila DoJ mengesahkan “sitaan Equanimity secara tidak sah oleh Malaysia tanpa pengetahuan atau persetujuan AS”, kata jurucakap Low, melalui peguamnya dalam satu kenyataan.
Kapal itu antara aset bernilai lebih AS$1.7 bilion yang AS dakwa diperoleh Low dan rakan-rakan subahat dengan wang yang disalurkan daripada 1MDB.
Hakim daerah di AS, Dale Fischer, pada Mei mengarahkan syarikat-syarikat Low menyerahkan kapal itu kepada AS supaya ia boleh berlayar dari Indonesia dan dijual. Sebaliknya, ia berlayar ke Malaysia.
Menurut dokumen di AS, kerajaan AS pada Jun meminta Wilson Yacht Management Co – firma sama yang digunakan syarikat-syarikat Low – untuk mengupah anak kapal dan menjaga kapal itu. Syarikat itu mengambil langkah-langkah berikut untuk melayarkan kapal itu:
6 Julai: Mula menghimpunkan anak kapal di Bali, Indonesia;
11 Julai: Menyediakan draf pelan tindakan tentang langkah-langkah untuk melayarkan kapal itu ke AS dan mengisi minyak dalam persiapan untuk berlayar ke AS;
16 Julai: Mendapat keluluskan untuk membayar upah tertunggak kepada anak kapal sebelum ini dan memperoleh visa dan kertas kerja transit untuk anak kapal baharu;
27 Julai: Menerima surat mengesahkan kapal itu dibenarkan berlabuh di Guam pada atau selepas 8 Ogos.
Pada 1 Ogos, AS mendapati Indonesia mengarahkan anak kapal melayarkan kapal itu ke lokasi berdekatan sempadan perairan Malaysia dan memaklumkan pihak menuntut akan langkah itu, menurut dokumen itu. Pada 6 Ogos, AS mendapati kapal itu diserahkan kepada Malaysia.
“Pihak menuntut mendakwa kerajaan AS mengatur secara bersama atau membantu serahan kapal itu daripada Indonesia kepada Malaysia,” kata pendakwaraya.
Selain daripada tindakan “yang perlu dan wajar untuk menjaga keselamatan kapal itu, kerajaan AS tidak terlibat dalam tindakan Indonesia menghantar kapal itu ke Malaysia.”
Pada Jumaat, jurucakap Low mengeluarkan kenyataan menjawab laporan Wall Street Journal mengatakan China melindunginya dan Malaysia akan cuba meminta dia dihantar pulang.
“Maka tidak menghairankan Low percaya tiada kuasa di mana dia akan diberi peluang membela diri secara adil dalam perkara ini,” menurut kenyataann itu. “Ingin ditegaskan: Low tidak akan menyerah diri kepada mana-mana kuasa di mana kesalahan telah ditentukan lebih awal oleh politik dan kepentingan diri mengatasi proses undang-undang.”