Venezuela pohon ekstradisi 9 suspek cuba bunuh presiden

Venezuela pohon ekstradisi 9 suspek cuba bunuh presiden

Ketua Pendakwa Raya, Tarek William Saab berkata, suspek itu kini dipercayai berada di Amerika Syarikat, Colombia dan Peru.

Free Malaysia Today
Percubaan membunuh itu berlaku ketika Nicolas Maduro menyampaikan ucapan ketenteraan di Caracas, di mana 2 dron dipasang bahan letupan melayang ke tempat presiden berdiri dan meletup. (Gambar Bernama)
CARACAS:
Venezuela memohon perintah untuk mengekstradisi 9 rakyatnya yang didakwa terlibat dalam “percubaan membunuh” Presiden Nicolas Maduro, kata seorang pegawai tinggi kerajaan pada Rabu.

Suspek kini dipercayai berada di Amerika Syarikat, Colombia dan Peru, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Ketua Pendakwa Raya, Tarek William Saab, dalam satu sidang akhbar.

“Kami menjangkakan semua negara terbabit akan bekerjasama kerana perjuangan menentang keganasan tidak mempunyai sempadan,” katanya.

Jumlah individu yang dikaitkan pihak berkuasa dengan serangan 4 Ogos itu meningkat kepada 43 orang.

Setakat ini, 21 individu sudah didakwa secara rasmi.

Saab berkata, pihak yang bertanggungjawab melancarkan serangan itu dan mereka yang menyalurkan bantuan dari segi kewangan serta logistik sudah dikenal pasti.

Percubaan membunuh itu dilaporkan berlaku di Caracas ketika Maduro menyampaikan ucapan ketenteraan, yang menyaksikan 2 dron dipasang bahan letupan melayang ke tempat presiden berdiri dan meletup.

Meskipun Maduro selamat, beberapa pegawai tentera cedera dalam insiden itu, menurut pihak berkuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.