600 anggota keluarga keturunan Tok Janggut bersatu

Gambar Facebook.

Bulan kemerdekaan tahun ini menjadi titik pertemuan buat lebih 600 anggota keluarga keturunan Tok Janggut dari seluruh negara.

Ibrahim Mohamad, 80, sebagai generasi ketiga Tok Janggut, berkata beliau tidak menyangka sambutan hari keluarga yang diadakan di Kampung Bukit Payung, Jertih dapat mengumpulkan lebih daripada separuh keturunan Tok Janggut yang sebelum ini tidak pernah mereka kenali.

“Kebanyakan yang datang hari ini adalah golongan muda dan mereka ini tidak tahu akan susur galur keluarga keturunan Tok Janggut, yang juga seorang pejuang menentang penjajah pada zaman sebelum merdeka.

“Namun pada hari ini mereka berpeluang mengenali nenek moyang mereka dan mengenang kembali sejarah keluarga,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Mohd Hamzan Husin, 51, berkata beliau tidak dapat menahan rasa teruja apabila sambutan hari keluarga yang diadakan pada Aidiladha kedua dapat dijayakan setelah beberapa kali dirancang.

“Kini generasi yang tinggal hanyalah generasi ketiga iaitu cucu kepada Tok Janggut dan hinggalah generasi terkini, daripada 15 cucu Tok Janggut sekarang hanya tinggal lima orang sahaja yang masih hidup dan mempunyai umur yang lanjut.

“Pada hari ini kita dapat kenalkan anak cucu cicit dengan generasi keluarga sebelum ini yang masih ada agar mereka kenal siapa mereka dan pada bulan kemerdekaan ini juga kita mengambil kesempatan menyemai semangat perjuangan dalam diri mereka apabila mengetahui asal usul yang sebenar,” katanya.

Turut diadakan beberapa acara seperti sukaneka dan majlis tahlil.

Sementara itu, Kamarul Firdaus Mansur, 34, yang menetap di Kuala Lumpur berkata beliau mengetahui penyatuan kembali sanak saudara keturunan itu melalui perkongsian saudaranya di aplikasi media sosial.

Tok Janggut, atau nama sebenarnya Hassan Panglima Mat Munas, ialah penentang penjajahan British yang terbunuh semasa menentang pengenaan cukai oleh pihak British ketika Perang Tok Janggut di Kelantan, Tanah Melayu.

Beliau digelar Tok Janggut kerana memelihara janggut sampai ke paras dada dan adalah tokoh agama Islam yang menarik sokongan banyak pengikut di Kelantan.