Mendidik pemimpin Malaysia yang buta teladan

Oleh Fatihah Jamhari

Harga nyawa rakyat dalam TPPA

Sejak 2013 lagi, gabungan masyarakat madani seperti Bantah TPPA telah bangkit menentang pemeteraian Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). Di bawah gabungan ini, masyarakat madani melepaskan perbezaan pegangan agama, bangsa, mahupun politik untuk menyatakan gema suara yang senada.

Antara tuntutan yang dibawa oleh gabungan NGO ini adalah agar kerajaan Malaysia tidak menandatangani perjanjian tersebut oleh kerana pelbagai kesan yang tidak memihak kepada Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat.

Antaranya, TPPA mengikat keupayaan negara-negara anggota dalam hal membentuk dasar ekonomi negara, yang mana sebarang undang-undang atau polisi yang dibuat kerajaan haruslah mengambil kira terma TPPA dan memastikan polisi itu tidak mengugat penglibatan pelabur luar di pasaran Malaysia.

Sepatutnya dalam mana-mana negara yang berdaulat, kepentingan utama yang harus dipelihara kerajaan yang memerintah hanyalah kepentingan rakyat yang mereka wakili. Namun dengan adanya TPPA, kepentingan pelabur asing menjadi lebih tinggi dan mulia mengatasi rakyat negara.

Dalam pada masyarakat dan rakyat terus bangkit membantah, pada 4 Februari 2016, akhirnya Malaysia akur dan tunduk kepada gesaan luar dengan menandatangani TPPA.

Sejujurnya, penulis sedar sekalipun gegak-gempita rakyat Malaysia bangkit melaungkan Bantah TPPA, namun umum maklum perjanjian itu tetap akan diteruskan.

Kelangsungan TPPA tetap terjamin dek ketakutan yang berjaya dicipta oleh Amerika Syarikat (AS) untuk menundukkan negara-negara luar yang berunding dengannya.

Lihat saja contoh yang diberikan oleh John Perkins dalam buku “Confessions of an Economic Hitman”, bagaimana Bank Dunia dan AS, berserta agensi-agensi di bawahnya, telah memastikan pemimpin dunia yang enggan bekerjasama dengan tuntutan ekonomi AS didiamkan.

Begitu juga dengan amaran yang diberikan oleh Naomi Klein dalam bukunya “The Shock Doctrine: The Rise of Disaster Capitalism” yang banyak memanjangkan hujahan Noam Chomsky seperti yang beliau nukilkan dalam “Manufacturing Consent: The Political Economy of the Mass Media”.

Kisah seram yang diwar-warkan bagaimana AS tidak segan menggunakan kekerasan sekalipun menyebabkan kematian beribu-ribu nyawa, sememangnya telahpun berlaku di banyak negara dunia ketiga.

Dunia terdiam melihat bagaimana ramai pemimpin negara “mundur” yang tunduk kepada kuasa besar AS akibat takutkan pembunuh upahan yang tidak kenal undang-undang.

Begitu juga negara-negara yang terpaksa menerima penindasan keras yang menjejaskan kelangsungan hidup rakyat mereka seperti di Chile, Guatemala dan Peru hanya kerana ingin memastikan kepentingan ekonomi AS di negara-negara ini dapat bercambah sihat, walaupun dalam pada rakyat tempatan hidup tenat.

Mengambil teladan daripada kisah-kisah penindasan ini, rakyat Malaysia harus berwaspada dalam penerimaan TPPA dan masih ramai yang giat menyuarakan bantahan kepada TPPA, walaupun selepas kerajaan Malaysia memeterai TPPA.

Namun akhirnya, pada Januari 2017, selepas dilantik sebagai Presiden AS, Donald Trump telah mengambil keputusan untuk menarik keluar AS daripada TPPA.

Dalam konteks sempit ini, rakyat Malaysia patut “berterima kasih” kepada Trump kerana penarikan AS keluar daripada TPPA sekaligus menghentikan proses pemakaian perjanjian itu. Jika tidak, banyak bundak yang akan tercipta dalam ekonomi Malaysia.

Kendatipun begitu, sedikit kegusaran masih wujud apabila Trump pada April 2018 menyuarakan hasrat untuk mendalami kemungkinan AS menyertai semula TPPA.

CPTPP hantu momokan TPPA

Selepas bersilat dengan penarikan AS daripada TPPA, timbul pula Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

CPTPP sebetulnya hanyalah jasad baru yang diisikan roh TPPA; walaupun nampak baru, namun kebobrokannya tetap sama. Ketiadaan AS di dalam CPTPP tidak akan berjaya menenteramkan desas-desus yang mula mengetengahkan kebingungan terma CPTPP.

Perjanjian ini antara lain memperuntukkan kawalan ke atas monopoli syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik negara-negara ahli.

Peruntukan di bawah Klausa 17 CPTPP akan memberi kesan besar kepada GLC seperti Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Telekom Malaysia (TM) yang selama ini mendapat perlindungan pasaran melalui peruntukan undang-undang negara.

Jika CPTPP diteruskan juga, peruntukan undang-undang seperti Akta Pembangunan Petroleum 1974 (Akta 144) akan perlu, sedikit sebanyak, dipinda bagi memberikan ruang kepada negara-negara ahli CPTPP untuk meneruskan obligasi masing-masing di bawah perjanjian itu.

Walaupun wujud 22 penangguhan sementara kepada CPTPP, termasuklah bagi perkara yang melibatkan sektor minyak dan gas, tetapi apa yang rakyat Malaysia harus fahami mengenai penangguhan ini hanyalah bersifat sementara dan tetap akan diteruskan juga apabila semua negara ahli CPTPP bersetuju menerima penuh terma-terma CPTPP.

Sudahkah Malaysia sebagai sebuah sistem ekonomi global mampu bersaing dengan pasaran CPTPP?

Keburukan perjanjian ekonomi global, sudahpun terbukti oleh Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (Nafta) yang menyaksikan bagaimana akhirnya negara-negara ahli berantakan dan langsung mengubah polemik sosial mereka.

Sebagai contoh, Nafta antara punca pekerja dari Mexico mendapat tempat dalam pasaran AS, namun penyudahnya mereka dikatakan pencuri pekerjaan rakyat AS. Akhirnya, migran haram dari Mexico dihantar balik dalam proses deportasi besar-besaran dek kerana tanggapan rakyat AS yang melihat pekerja Mexico sebagai punca masalah sosial mereka.

Tanpa belas kasihan, pekerja-pekerja migran dikaut seperti parasit dan dihumban keluar sedangkan ekonomi AS ditampung berat hasil titik peluh pekerja migran ini.

Sepanjang Julai tahun ini, masyarakat dunia turut melihat bagaimana kejam AS di bawah pentadbiran Trump, yang memisahkan kanak-kanak migran daripada ibu bapa mereka semasa proses deportasi dijalankan.
Alasan mereka bertindak tanpa perikemanusiaan hanyalah dengan menegaskan bahawa polisi imigrasi mereka tidak menyokong kemasukan pekerja haram.

Adakah Malaysia sudah lahap benar untuk mengulangi masalah ini di Malaysia? Sedangkan tanpa pelaksanaan CPTPP sekalipun, masalah migran negara sudah meruncing.

Apakah Malaysia bersedia menerima kesan membuka pasaran ekonomi kepada buruh luar? Sedangkan golongan rentan seperti komuniti tidak bernegara di Malaysia masih terpekik lolong meminta bantuan dan pengiktirafan.

Orang tidak bernegara (OTB) sepatutnya mendapat tempat di pasaran ekonomi negara, namun dipinggirkan tanpa tiada sesiapa yang membantu penglibatan mereka dalam pasaran Malaysia.

Mereka telah lama bertapak di Malaysia dan ada di antara mereka yang mempunyai ikatan keluarga yang sememangnya mempunyai kewarganegaraan Malaysia. Namun, dek menghormati kedaulatan undang-undang, mereka hidup melukut yang dipandang hujung mata.

Sebetulnya jika OTB diangkat sebagai penyumbang ekonomi negara secara sah, banyak kebaikan yang boleh dihasilkan mereka. Sebagai contoh, OTB dari komuniti Suluk, Bajau Darat dan Bajau Laut di Sabah mempunyai kepakaran selok-belok perairan negara ini.

Jika mereka diterima sebagai tenaga yang menggerakkan industri perikanan, sudah tentu OTB dapat menyumbang dengan lebih pesat kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara.

Sayangnya, pemimpin negara masih tidak belajar daripada sejarah dan enggan membuka minda dalam menangani isu OTB secara sistematik. Maka, jikapun 10 kerajaan silih berganti, tanpa pengiktirafan selayaknya, OTB tetap dianaktirikan tanpa pembelaan.

Jika nasib OTB di Malaysia masih samar-samar, apakah yang merasuk pemimpin negara yang tidak belajar teladan dan kini terhegeh-hegeh membenarkan pekerja asing mencari jalan masuk untuk mengambil peluang bekerja dalam pasaran tempatan?

Maruah rakyat hanya komoditi

Kebobrokan ekonomi di AS sudah jelas apabila mereka hanya memperkayakan golongan bourjuis berterusan meminggirkan golongan murba, terutama yang rentan. Jika Malaysia meneruskan TPPA, tentu saja sistem ekonomi negara akan dijangkiti barah yang membusung di AS.

Lihat saja bagaimana dalam semua dokumentari filem yang diterbitkan oleh pengarah Michael Moore mendidik rakyat mereka betapa busuknya nanah jelik yang mengalir sebagai penghidup hayat ekonomi AS.

Di AS, rakyat mereka hanyalah bernilai setakat dijadikan hamba yang mencandak berat beban golongan kaya-raya.

Sistem penjagaan kesihatan AS antara termahal di dunia dengan perbelanjaan tahunan AS$3 trilion atau AS$9,523 setiap orang. Namun dengan harga sebegitu tinggi, sistem penjagaan kesihatan AS tersenarai sebagai salah satu terburuk di kalangan negara maju.

Begitu juga perkiraan kompleks gaji minimum di AS yang melihat secara amnya ditetapkan sebanyak AS$7.25 sejam. Sedangkan di negara maju lain seperti Australia, gaji minimum adalah AS$15 sejam.

Di AS, perbezaan pendapatan di antara golongan kaya dan murba berterusan membesar dengan hampir 12% rakyat AS hidup dalam kadar kemiskinan.

Kerajaan AS juga tidak menjaga kebajikan pendidikan rakyat AS apabila mengikut angka yang dikeluarkan Jabatan Pendidikan AS, antara 2014 dan 2015, sebanyak 1,573 sekolah ditutup. Ini tidak termasuk penarikan dana kerajaan kepada perpustakaan awam di seluruh AS.

Sebagai negara maju, AS menghantar pesanan yang jelas kepada dunia: penjagaan kesihatan dan pendidikan bukanlah isu penting. Mampukah Malaysia bekerjasama dengan negara yang dipenuhi rakyat dididik untuk merendahkan martabat kesihatan dan pendidikan?

Rakyat Malaysia tidak buta sejarah

Entah mengapa kerajaan Malaysia seringkali mengambil contoh negara barat untuk dijadikan modal penambahbaikan sistem negara. Walaupun tidak dinafikan ada baiknya dalam sistem lebih maju dari barat, namun perlu disiasat dengan teliti beberapa teladan yang wajib dijadikan sempadan.

Baru-baru ini, timbul pula cadangan timbalan menteri kesihatan untuk mewujudkan sistem insurans kesihatan bagi golongan B40.

Jikapun pada luarannya cadangan ini kelihatan selamat kerana kerajaan akan memberikan perlindungan insurans secara percuma kepada B40, namun hakikatnya jika cadangan ini diteruskan, langkah ini hanyalah permulaan kepada penghapusan sistem penjagaan kesihatan yang disubsidi hampir keseluruhannya oleh kerajaan Malaysia.

Tanpa mendalami cadangan ini, kita hanya akan dibuaikan dengan perkataan “percuma”, walhal harga yang rakyat perlu langsaikan di masa depan teramatlah tinggi. Sistem yang menggunakan perlindungan kesihatan sejagat di Malaysia buat masa ini antara yang diakui terbaik di dunia.

Kadar kematian maternal menyusut 89% di antara 1963 hingga 2013 dan jangka hayat di Malaysia meningkat kepada 75 tahun. Ini adalah pencapaian baik bagi sistem penjagaan kesihatan negara dan haruslah dipelihara dan ditambah baik lagi.

Dengan memasukkan elemen perlindungan insurans kepada golongan B40, sistem yang berjalan baik ini akan mula dihakis sedikit demi sedikit sehinggakan akan tiba masa apabila sistem kesihatan negara akan menyerupai keadaan di AS, di mana rakyat sejak 2017 mula bangkit menuntut lebih banyak subsidi diberikan kepada penjagaan kesihatan mereka.

Apakah keperluan Malaysia meniru sistem yang sudah terbukti bobrok, busuk, nazak dan menunggu masa untuk mati di AS?

Sudah cukup daifkah idea kerajaan Malaysia sehingga sistem yang rosak pun ingin diimport masuk ke dalam negara?

Kerajaan yang dilantik dengan mandat majoriti rakyat Malaysia haruslah bijak mengimbangi tuntutan pasaran global dan keperluan menjaga amanah dan kebajikan rakyat negara ini. Jangan dek kerana tergila-gila menjarah pembangunan sehinggakan rakyat tergadai.

Fatihah Jamhari ialah pengamal undang-undang dan ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi Gabungan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq), sebuah NGO dalam Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (Macsa).

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.