Tunggu dan lihat, tuduhan akan tersangkal, kata Jho Low

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Low Taek Jho sekali lagi mengatakan dia tidak akan dapat perbicaraan adil di Malaysia walaupun yakin tuduhan menggelapkan dana 1MDB yang difailkan terhadapnya di Putrajaya hari ini akan tersangkal.

Low, menerusi kenyataan melalui para peguam dan firma perhubungan awam menggesa orang ramai “berfikiran terbuka sehingga semua bukti ditunjukkan”.

Beliau sedang melarikan diri daripada pihak berkuasa Malaysia yang sedang bersiap sedia membicarakannya tanpa kehadirannya atas tuduhan mencuri berbilion dolar dari 1MDB.

“Ini dari awal lagi adalah kes dibicarakan oleh media, dan malangnya, sarkas ini masih berterusan,” kata Low.

Polis hari ini mengesahkan 8 pertuduhan pengubahan wang dibawa terhadap Low.

Pertuduhan itu berkaitan dengan pengubahan wang, termasuk 1 tuduhan terhadap bapanya, Low Hock Peng, kerana memindahkan AS$56 juta kepada anaknya.

Perkembangan ini ketika 1MDB membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk menjual kapal Equanimity bernilai RM1 bilion yang disita di perairan Indonesia dan diserah kepada pihak berkuasa Malaysia bulan ini atas permintaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Jakarta.

Sejak ketibaan kapal itu, Low meningkatkan serangan terhadap Dr Mahathir, membidas rampasan kapal itu yang penyiasat Amerika Syarikat percaya dibeli menggunakan wang yang dicuri dari 1MDB sebagai “menyalahi undang-undang”.

Low melalui syarikat perhubungan awam yang berpangkalan di Sydney berkata, sebarang pertuduhan terhadapnya untuk mengalihkan pandangan daripada “rampasan kapal Equanimity yang gagal dan rancangan mereka untuk melelongnya tanpa mengesahkan hak milik kapal itu melalui proses undang-undang yang betul”.

“Jelas sekali Low tidak akan dapat perbicaraan yang adil di Malaysia, di mana kerajaan membuktikan berulang kali mereka tidak berminat dengan kedaulatan undang-undang.”

Kenyataan itu menambah Low sedang berbincang dengan para peguam “untuk menangani tindakan balas politik itu”.

“Dia berpegang pada kenyataan sebelum ini: Dia tidak akan menyerah diri kepada mana-mana kuasa di mana kesalahan telah ditentukan lebih awal oleh politik dan kepentingan diri mengatasi proses undang-undang.”