
Thomas hari ini berkata undang-undang kontroversi itu yang diluluskan pada 2012 menyalahi kebebasan madani.
“Undang-undang itu akan dimansuhkan segera, tertakluk kepada rundingan dengan banyak kementerian.
“Cuma tinggal menunggu masa,” katanya, dan menambah perkara itu perlu diuruskan dengan cermat.
Beliau terkejut beberapa peguam jenayah memberitahunya Sosma diperlukan untuk menangani samseng.
Thomas berkata demikian di forum berkenaan status reformasi institusi selepas 100 hari, anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) dan Persatuan Alumni London School of Economics Malaysia.
Pada Julai, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan memansuhkan Sosma, yang dilihat sebagai pengganti kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dihapuskan.
Kerajaan Barisan Nasional mempertahankan undang-undang itu, mengatakan ia perlu untuk mencegah pelampau, termasuk yang berkaitan IS.
Di bawah Sosma, seseorang boleh ditahan selama maksimum 28 hari dan polis boleh menangguhkan akses kepada keluarga dan peguam sehingga 48 jam selepas ditahan.
Antara ratusan yang ditahan bawah Sosma adalah Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah, yang ditahan selama 11 hari kerana peranannya dalam tunjuk perasaan Bersih 5 di ibu negara pada November 2016.
Ia juga digunakan terhadap bekas pemimpin Umno Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hasan atas peranannya melaporkan skandal 1MDB kepada pihak berkuasa asing.