Adik Guan Eng antara 12 angkat sumpah sebagai senator

Adik Guan Eng antara 12 angkat sumpah sebagai senator

Setiausaha DAP Pulau Pinang Lim Hui Ying mengangkat sumpah di depan Yang Dipertua Dewan Negara S A Vigneswaran.

Free Malaysia Today
Senator yang baru dilantik diharap dapat melaksanakan proses demokrasi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Tetap Kongres Nasional PKR Ismail Yusop antara 12 individu yang mengangkat sumpah sebagai senator hari ini di depan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S A Vigneswaran.

Pelantikan Ismail dan 3 lagi iaitu Ahli Jawatankuasa (AJK) DAP Perak Nga Hock Cheh, Setiausaha DAP Pulau Pinang Lim Hui Ying dan bekas ahli parlimen Balik Pulau Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dicadangkan oleh DUN masing-masing.

Lapan lagi diusulkan oleh kerajaan pusat iaitu Pengerusi PPBM Terengganu Datuk Razali Idris, Ketua Bersatu Bahagian Gelang Patah Md Nasir Hashim dan AJK Amanah Pusat Raj Munni Sabu.

Turut dilantik kerajaan pusat ialah Pengerusi Parti Warisan Sabah Datuk Theodore Douglas Lind, Setiausaha DAP Sarawak Alan Ling Sie Kiong, Pengarah Pendidikan DAP Sabah Adrian Banie Lasimbang serta Ketua Cabang PKR Bera Monalan Mohamad dan bekas ahli parlimen Lumut Mohamad Imran Abd Hamid.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan Husam Musa yang sebelum ini dijadualkan mengangkat sumpah sebagai senator hari ini ditangguhkan ke tarikh lain yang akan ditetapkan kemudian.

Sementara itu dalam ucapannya selepas majlis yang berlangsung pada 10 pagi tersebut, Vigneswaran mengingatkan ahli Dewan Negara yang baru dilantik agar melaksanakan proses demokrasi berlandaskan keperibadian yang tinggi dengan pemikiran terbuka serta rasional.

“Menjadi harapan saya agar Yang Berhormat yang baharu mematuhi ikrar taat setia seperti mana yang dilafazkan sebentar tadi, terutama berkaitan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Rukun Negara yang menekankan keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta keperibadian mulia yang menjadi amalan raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

“Selanjutnya saya juga percaya Yang Berhormat pada pagi ini sebagai ahli Dewan Negara akan membantu ke arah memperkasakan lagi imej Parlimen sebagai institusi perundangan yang berwibawa dan disanjung tinggi di persada antarabangsa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.