Suami isteri ditembak mati dalam kedai sendiri

Polis berkata, hasil siasatan menunjukkan 2 lelaki bertopeng dan bersenjatakan pistol memasuki kedai perabot mangsa.

SONGKLA: Sepasang suami isteri mati ditembak penyerang bersenjatakan pistol dalam kedai perabot mereka di Thamuang, daerah Thepa di wilayah Songkla, selatan Thailand, hari ini.

Menurut Ketua Polis Bahagian ke-9, Ronnasin Phusara, pihaknya menerima laporan tentang kejadian itu kira-kira 12 tengah hari (waktu tempatan).

“Hasil siasatan menunjukkan 2 lelaki bertopeng dan bersenjatakan pistol memasuki kedai itu. Mereka menaiki motosikal,” katanya sambil menambah, usaha mengesan penyerang serta motif kejadian giat dijalankan.

Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Uthi Jantarat, 65, yang ditembak di bahagian kepala dan dada serta isterinya, Boontim Jantarat, 63, yang ditembak dari jarak dekat.

Ronnasin berkata, mayat mangsa ditemui tidak jauh antara satu sama lain dan 9 kelongsong peluru 9mm ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, kedai perabot milik pasangan itu pernah dibakar individu tidak dikenali 5 tahun lalu dalam serangan khianat di selatan Thailand.