EU seru larangan antarabangsa ke atas ‘robot pembunuh’

BRUSSELS: Kesatuan Eropah membuat pendirian terhadap “robot pembunuh” apabila Parlimen Eropah meluluskan resolusi menyeru larangan antarabangsa ke atas pembangunan, pengeluaran dan penggunaan senjata yang membunuh tanpa perlu keputusan manusia.

Senjata autonomi adalah mesin yang diaturcara untuk memilih dan menyerang sasaran menggunakan kecerdasan buatan, tanpa kawalan manusia. Penentang bimbang senjata itu jadi berbahaya akibat serangan siber atau kesilapan aturcara.

“Saya sedar hal ini nampak seperti perdebatan mengenai cereka sains. Tapi bukan,” kata Federica Mogherini, ketua dasar luar negeri dan keselamatan EU, semasa perbahasan di parlimen EU semalam.

Resolusi yang diluluskan hari ini untuk usaha untuk memintas pembangunan dan penggunaan robot pembunuh.

Negara seperti Amerika Syarikat, China, Israel, Korea Selatan, Rusia dan United Kingdom semakin dekat menghasilkan sistem senjata berautonomi, yang dipelopori teknologi seperti dron bersenjata, menurut Human Rights Watch.

Agensi berita Rusia, TASS, pada 2017 melaporkan pengeluar senjata Kalashnikov sudah membangunkan senjata berautonomi yang mampu “mengenalpasti sasaran dan membuat keputusan”.

Kebanyakan ahli parlimen EU semalam menyokong resolusi mengatakan pengunaan senjata seperti itu adalah isu hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan. Namun terdapat beberapa ahli parlimen yang khuatir undang-undang akan mengehadkan kemajuan sains dalam bidang kecerdasan buatan untuk kegunaan harian.

Kebimbangan lain yang disuarakan adalah risiko keselamatan terhadap blok itu jika ia melarang penggunaan senjata itu ketika negara lain menggunakannya.

“Sistem senjata berautonomi mesti dilarang di peringkat antarabangsa,” kata Bodil Valero, jurucakap dasar keselamatan mewakili gabungan Greens/EFA di parlimen EU.

“Kuasa menentukan hidup dan mati tidak boleh diambil dari tangan manusia dan diserah kepada mesin.”

Resolusi yang diluluskan hari ini menyeru EU membuat satu pendirian bersama sebelum rundingan antarabangsa di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu November ini.

Di peringkat PBB, 26 kerajaan menuntut senjata kecerdasan buatan diharamkan, menurut kenyataan Greens/EFA.

“Resolusi ini memacu momentum ke arah langkah menghalang pembangunan dan penggunaan senajta itu,” kata pertubuhan keamanan PAX dalam kenyataan selepas pengundian hari ini.