Ta’awun: Jangan PAS berlebih-lebih mahukan Umno, pesan perwakilan

Perwakilan Dewan Ulama Zulkarnain Hassan berkata, kerjasama yang dibuat mestilah di atas nama mengukuhkan kedudukan dan suara pembangkang.

KUALA NERUS: Dewan Ulama PAS mengingatkan pucuk pimpinan parti supaya tidak kelihatan berlebih-lebihan dalam ta’awun atau kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Umno.

Wakilnya, Zulkarnain Hassan berkata, PAS tidak boleh dilihat sebagai pihak yang beria-ia mahukan kerjasama itu.

“Hendaklah mereka yang datang bertemu kita. Jangan kita yang nampak sangat beria-ia pergi kepada mereka,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden PAS pada sesi perbahasan Muktamar Tahunan kali ke-64 parti di sini hari ini.

Katanya, kerjasama tersebut juga hendaklah meletakkan Islam sebagai keutamaan.

“Jangan kita berta’awun hingga meninggalkan asas dan dasar perjuangan kita,” katanya.

Menurutnya, kerjasama yang dibuat mestilah di atas nama mengukuhkan kedudukan dan suara pembangkang.

“Kita kena pastikan ia adalah atas dasar maruah untuk mengajak mereka bersama Islam yang kita perjuangkan,” katanya.

Zulkarnain juga berkata Dewan Ulama meletakkan keyakinan tinggi kepada pimpinan dan Majlis Syura Ulama untuk membuat keputusan yang betul.

Semalam Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengetuai rombongan pimpinan tertinggi parti itu menghadiri majlis perasmian muktamar PAS yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak.