KJ, Johari Ghani nafi akan tinggalkan Umno

KJ, Johari Ghani nafi akan tinggalkan Umno

Dua pemimpin Umno tekad menjadi sebahagian usaha reformasi parti dan menjadi pembangkang yang kuat.

KUALA LUMPUR: Khairy Jamaluddin dan Johari Abdul Ghani hari ini nafi mereka akan keluar parti selepas 2 pemimpin kanan meninggalkan Umno dalam tempoh 48 jam lalu.

Khairy bertegas mahu kekal bersama parti itu kerana negara perlukan pembangkang yang berwibawa.

“Rakyat mahu lihat Barisan Nasional mainkan peranan itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat tertutup Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Datuk Seri Johari Abdul Ghani juga menepis dakwaan dia akan mengikut langkah Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman.

Datuk Seri Johari Abdul Ghani

“Saya akan terus berkhidmat sebagai ketua Umno Wilayah Persekutuan dan Barisan Nasional Wilayah Persekutuan selagi khidmat saya diperlukan,” katanya dalam kenyataan.

Bekas menteri kewangan II itu mahu menjadi sebahagian daripada usaha reformasi parti dan percaya Umno yang berusia 72 tahun itu akan berjaya meraih kepercayaan rakyat.

Terdahulu media melaporkan tentang senarai mendakwa 17 Ahli Parlimen Umno akan meninggalkan parti itu.

Ahli Parlimen Jeli Mustapa semalam mengumumkan dia meninggalkan Umno selepas 40 tahun bersama parti kerana hala tuju parti itu tidak lagi selari dengan prinsipnya.

Hari ini, Ahli Parlimen Kimanis Anifah mengumumkan dia juga meninggalkan Umno kerana ia tidak lagi boleh memenuhi janji memulihkan hak Sabah dan Sarawak yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.