Percaturan politik di sebalik 16 September

Tarikh 16 September bukan saja merupakan Hari Malaysia tetapi ia juga adalah Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Tarikh ini juga penuh dengan peristiwa percaturan politik negara.

Dalam sejarah parti politik, 16 September juga hari ulang tahun Amanah yang ditubuhkan 3 tahun lalu. Tetapi terdapat satu peristiwa politik yang juga berkaitan dengan tarikh 16 September yang berlaku 10 tahun lalu.

Peristiwa itu adalah usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim hendak menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di peringkat Persekutuan dengan menarik ahli parlimen Barisan Nasional. Usaha beliau gagal.

Usaha Anwar itu dilihat sebagai satu percaturan politik di luar semangat idealisme demokrasi. Bagi para idealis demokrasi, langkah melompat parti oleh seseorang wakil rakyat merupakan suatu tindakan khianat terhadap mandat pengundi.

Bagi para realis pula, tindakan itu merupakan sebahagian daripada percaturan politik. Tidakkah politik merupakan seni serba mungkin bagi mendapatkan kuasa? Maka tidak salah untuk melakukan percaturan politik.

Apa yang dimaksudkan dengan percaturan adalah melakukan langkah bagi mengalahkan lawan tanpa mereka sedari. Ditambah pula, dilakukan langkah persediaan bagi mengelak tindakan khianat.

Ia seperti bermain catur. Di samping menyerang, para pemain perlu mempertahankan diri dengan menyediakan kedudukan tertentu.

Dalam percaturan politik melawan Barisan Nasional (BN) itu, Anwar gagal merealisasi langkah 16 September itu. Beliau hanya berjaya memenangi PRK Permatang Pauh pada Ogos 2008 dan menjadi ketua pembangkang.

Sebaliknya, Datuk Seri Najib Razak melakukan percaturan politik yang membawa kepada jatuhnya kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak.

Tetapi perkembangan politik terkini yang berlaku pada 16 September lalu iaitu hari akhir Muktamar PAS yang berlangsung di Kuala Terengganu. Ia melakar hala tuju parti itu yang merupakan sebahagian daripada percaturan politik negara.

Terkini ialah PAS menganggap kerjasama PAS dan Umno adalah suatu keperluan walaupun ia bukanlah suatu perkara mendesak.

Dengan kehadiran pemimpin Umno dalam majlis pembukaan muktamar itu, dapat dilihat kerjasama kedua-dua parti akan berlaku. Tetapi untuk dijadikan rasmi, suatu muktamar khas akan diadakan.

Namun dalam senario politik negara, kerjasama Umno-PAS sudah wujud, lebih-lebih lagi dengan apa yang disaksikan berlaku pada pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis dan Seri Setia. Kerjasama ini akan disaksikan lagi apabila PRK Port Dickson akan berlangsung kelak.

Ketua umum Pakatan Harapan (PH) menjadikan Port Dickson sebagai pelantar bagi pelancarannya untuk menyertai kerajaan dalam persediaan beliau menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri selaras dengan persetujuan menjelang PRU14 yang lalu.

Port Dickson mempunyai kedudukan tersendiri dalam sejarah negara. Ia ditubuhkan kerajaan kolonial British untuk menjadi pelabuhan bagi mengangkut timah dari Seremban yang dibawa melalui keretapi. Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan Tanah Melayu, Port Dickson muncul sebagai pekan peranginan pantai untuk warga Kuala Lumpur.

Tetapi lebih penting lagi adalah kerajaan kolonial British mendirikan kem Haig Lines di Batu Lima Port Dickson pada 1930-an.

Di situlah pada 1938, Askar Melayu Diraja ditubuhkan, yang menjadi asas kepada Tentera Darat Malaysia dan ATM. Haig Lines kini dikenali sebagai Institut Pengurusan Tentera Darat (IPDA) dan Port Dickson diisytihar sebagai Bandar Tentera Darat.

Pada tahun lalu, sambutan Hari ATM diadakan di Port Dickson. Tahun ini, sambutannya juga bersejarah kerana buat pertama kalinya tentera berada di bawah pentadbiran seorang menteri yang bukan datang dari Umno. Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu adalah presiden Amanah sejak ia ditubuhkan.

Dalam masa 3 tahun saja, di luar jangkaan, Amanah menjadi sebahagian daripada parti kerajaan PH.
Sambutan ulang tahun penubuhan Amanah akan berlangsung pada 22 September ini di Temerloh, Pahang, kawasan parlimen yang diwakili Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir yang juga timbalan menteri Kerja Raya.

Sebagai setiausaha penaja, Anuar adalah penggerak kepada penubuhan Amanah untuk menampung perjuangan pemimpin PAS yang disingkirkan dalam Muktamar parti itu pada 2015 di Kuala Selangor.

Beliau mempunyai peranan istimewa dalam perkembangan politik Malaysia kontemporari. Ini kerana selain Amanah, beliau adalah juga setiausah penaja bagi PKR ketika ditubuhkan pada 1998.

Amanah memainkan peranan penting dalam penubuhan PH sebaik saja Pakatan Rakyat terbubar ekoran perselisihan antara PAS dan DAP berhubung dengan soal hukum hudud. PH ini pula dijadikan pelantar bagi Dr Mahathir kembali menjadi perdana menteri.

Bukan itu saja, Amanah juga, melalui peranan Mohamad Sabu dalam Majlis Presiden PH memudahkan rundingan pembahagian kerusi dalam menghadapi PRU14 yang lalu.
Perkara ini diakui sendiri oleh Dr Mahathir. Maka adalah tidak menghairankan pemimpin Amanah diberikan kedudukan baik dalam Kabinet Dr Mahathir.

Namun begitu, keadaan demikian menibulkan rasa tidak puas hati kalangan tertentu dalam PKR. Sebagai parti dalam PH yang memperoleh kerusi Dewan Rakyat paling banyak berbanding sekutu mereka, ada kalangan PKR mahukan kedudukan yang lebih kuat.

Sentimen ini terdedah apabila PKR menjalankan proses pemilihan dengan Anwar menang jawatan presiden tanpa bertanding. Persaingan antara Datuk Seri Azimn Ali dengan Rafizi Ramli dilihat sebagai suatu percaturan politik Anwar.

Lebih-lebih lagi apabila dikaitkan pula dengan Dr Mahathir serta ditimbulkan isu berkemungkinan berlaku usaha untuk melambatkan atau menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri.

Keadaan ini dikaitkan pula dengan kerjasama PAS dan Umno. Dengan bilangan kerusi yang dimiliki oleh Umno, PAS dan PKR, berbanding dengan apa yang dipegang oleh PPBM, Amanah dan DAP, maka para pemerhati dapat melihat percaturan politik sedang atau bakal berlaku.

Dalam PRK Port Dickson ini, PPBM, Amanah dan DAP akan turun membantu berkempen untuk Anwar. Tetapi perhatian pasti turut diberikan kepada apa yang Anwar lakukan setelah menang kelak.

Buat masa ini Dr Mahathir yang kesuntukan masa itu memberi tumpuan kepada membina semula negara dengan proses membersihkan kerajaan sedang berlaku. Beliau dan Tun Daim Zainuddin dilihat juga mempunyai percaturan tersendiri untuk mempertahankan mandat asal rakyat untuk PH.

Pada 16 September lalu, perdana menteri berada di Kota Kinabalu untuk perayaan Hari Malaysia. Dalam ucapannya, beliau menyatakan akan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung Malaysia. Warisan yang memerintah negeri itu merupakan sekutu PH yang juga mampu berperanan dalam apa jua percaturan politik negara.

Dalam segala percaturan yang dimainkan ahli politik, terdapat aspirasi rakyat menuntut supaya golongan berkuasa melaksanakan mandat yang diberi.

Malaysia sendiri ditubuhkan pada 16 Septeber atas percaturan politik bukan saja di peringkat dalam negara tetapi bersifat geopolitik.

Namun perkiraan akhir adalah kehendak setiap penduduk Malaysia untuk hidup dengan aman dan makmur, serta masa depan yang baik bagi anak cucu mereka.

* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.

* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.