Malaysia-Arab Saudi kukuh hubungan semua bidang, kata duta

Malaysia-Arab Saudi kukuh hubungan semua bidang, kata duta

Duta Arab Saudi ke Malaysia Mahmoud Hussien berkata fasa Dr Mahathir menyaksikan hubungan berkembang ketara dalam banyak bidang.

Mahmoud berkata hubungan kedua-dua negara sudah terjalin tetapi belum diterokai sepenuhnya. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Arab Saudi bawah pentadbiran Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Malaysia pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad berminat untuk meneruskan kerjasama dan mengukuhkan hubungan dalam semua bidang sedia ada sambil meneroka peluang baharu di sektor lain.

Duta Arab Saudi ke Malaysia Mahmoud Hussien Saeed Qattan berkata usaha itu dijangka memberi manfaat besar kepada negara dan rakyat kedua-dua negara.

Menurutnya ikatan terjalin antara Riyadh dan Kuala Lumpur selama ini berdasarkan kepentingan bersama dan asas sejarah hubungan, dan melepasi beberapa peringkat pembangunan melalui kepemimpinan terdahulu.

“Fasa Dr Mahathir menjadi perdana menteri dianggap paling penting dan berkesan kerana hubungan berkembang ketara dalam banyak bidang. Hubungan itu terus menunjukkan kemajuan semasa kerajaan Malaysia sebelumnya,” katanya dalam temu bual sempena hari kebangsaan ke-88 negara itu yang disambut pada 23 September.

Mahmoud berkata Arab Saudi berharap perkongsian sedia ada dimajukan lagi bagi dipadankan dengan potensi kedua-dua negara.

Sebagai contoh, hubungan perdagangan dan ekonomi kedua-dua pihak sudah terjalin tetapi belum diterokai sepenuhnya, katanya.

Dalam perkembangan lain, Mahmoud berkata Malaysia dan Arab Saudi telah mengambil langkah memerangi keganasan dan ekstremisme dengan menekankan prinsip toleransi serta kesederhanaan dalam Islam.

Mengulas bagaimana Malaysia boleh menyumbang kepada Wawasan 2030 Arab Saudi, beliau berkata Malaysia diundang mengambil bahagian dalam wawasan itu memandangkan peranan besarnya dalam bidang pelaburan dan perdagangan.

Visi Arab Saudi bertujuan mempelbagaikan sumber pendapatan negara dengan membuka bidang ekonomi baharu, menarik pelaburan industri dan teknologi, di samping melabur dalam sumber semula jadi negara, pelancongan dan modal insan.

Mahmoud berkata hubungan kedua-dua negara bermula sejak berabad lamanya melalui perdagangan, haji dan umrah.

“Hubungan politik sebenar bermula melalui pertukaran perwakilan diplomatik pada 1961. Sejak itu, kedua-dua negara terus mengukuhkan hubungan di semua bidang yang mempunyai kepentingan bersama,” katanya.

Jelasnya, bilangan pelajar Arab Saudi di universiti Malaysia kira-kira 1,500, mencerminkan keyakinan negara itu terhadap sistem pendidikan Malaysia.

Pada 2018, Arab Saudi menawarkan 300 biasiswa kepada pelajar Malaysia bagi melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang saintifik di universiti negara itu.

Selain itu, Arab Saudi juga melabur di Malaysia melalui beberapa usaha sama, antaranya membabitkan Saudi Aramco dan Petronas untuk mewujudkan kompleks industri penapisan dan petrokimia di Johor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.