Prospek karya indie semakin menyerlah

Prospek karya indie semakin menyerlah

Kehadiran penulis indie berjaya menyumbang kepada peningkatan minat membaca dan memberi lebih banyak pilihan buku di pasaran.

Gambar Facebook

Fenomena ‘indie’ (dari perkataan Inggeris independent) dalam industri buku Malaysia, yang mula menampakkan kesannya sekitar 2006, ternyata berjaya melonjakkan kembali minat membaca khususnya dalam kalangan generasi muda.

Ironinya, penggiat termasuk penerbit indie di dalam dunia perbukuan sehingga kini dipandang serong oleh sesetengah pihak walaupun kehadiran mereka ini berjaya menyumbang kepada peningkatan minat membaca dan memberi lebih banyak pilihan buku di pasaran.

Menurut pengarah penerbitan The Patriots, Syazrul Aqram, situasi berkenaan wujud apabila label indie sering disalah guna dan dikaitkan dengan penulisan buku yang antaranya berunsur ‘tabu’dan menggunakan bahasa pasar.

Karya Indie berbeza

“Ini tidak tepat kerana asasnya, penerbit indie juga cenderung dan berperanan menerbitkan buku fiksyen (sastera) atau buku bukan fiksyen seperti buku umum.

“Penerbit indie sama sekali tidak menerbitkan buku indie sebaliknya, label buku indie harus diperhalusi dengan lebih mendalam kerana label buku indie ini secara tepat hanya boleh digunakan untuk buku ‘yang dikarang atau diterbit sendiri oleh penulis, untuk tatapan dirinya sendiri dan rakan atau saudara terdekat’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Penerbit Indie Dalam Industri Perbukuan Di Malaysia-Sastera dan Perlawanan Persepsi di Seminar Sehari Isu-Isu Muktakhir di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Tambahnya, ia juga tidak wajar digunakan untuk mewakili karya yang menggunakan bahasa pasar atau lingo jalanan.

Ini kerana secara asasnya pembikinan sastera adalah satu kebebasan buat para penulis dan definisi sastera itu sendiri menurut kamus DBP ialah hasil seni yang diwujudkan dalam bentuk karangan bebas atau dalam bentuk puisi.

Perhalusi beza genre Indie

Syazrul menambah memandangkan ‘genre indie’ sering digunakan di dalam dunia muzik, tidak bermakna ia wajar digunakan untuk dunia perbukuan bahkan di Indonesia, terdapat penggiat muzik yang mengatakan indie bukanlah genre.

“Dunia perbukuan tidak seharusnya dibelenggu dengan persepsi berupa genre indie sebegini kerana sesebuah karya perlu mendapat takrifan genre yang tepat agar masyarakat mendapat maklumat yang benar mengenai karya dan sastera,” ujarnya.

Syazrul yang pernah dilantik Juruaudit Dalaman Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), menjelaskan, percanggahan ‘genre indie’ ini hampir sama seperti yang digambarkan mengenai sastera indie.

“Erti genre yang bermaksud kategori atau jenis karya sastera, seakan tidak sesuai dipadankan dengan maksud indie itu sendiri.

Gambar Facebook

“Malah menggolongkan penerbit indie dalam kumpulan sastera marginal yang merupakan sastera yang menawarkan ruang alternatif untuk menyiarkan karya bersifat tabu dari segi naratif atau bahasa secara berterusan menimbulkan polemik dan persepsi negatif yang tidak sepatutnya,” tambahnya.

Sejarah karya Indie

Di dalam kertas kerja yang dibentangkan, Syazrul menyoroti silang sejarah yang dinamakan karya indie, ia tercetus apabila bahan bacaan ‘zine’ berupa himpunan kertas bertulis saiz A5, dengan ketebalan sekitar 50 halaman dan dijual harga antara RM3 dan RM10 mula diterima baik oleh golongan muda.

Zine hasilan penulis indie pada awal era kemunculannya yang merangkumi pelbagai bentuk penulisan seperti puisi, prosa, anekdot, artikel dan cerpen ini antara impaknya, berjaya membuka jalan kepada sebilangan kelompok ini untuk menubuhkan syarikat penerbitan buku kecil dan komuniti penulisan bagi menyediakan bahan bacaan yang lebih berkualiti, tersusun, dan meluas.

Dari zine, syarikat penerbitan buku kecil dan komuniti penulisan yang dilabel indie ini mampu mempunyai pilihan mengeluarkan modal bagi mencetak bahan bacaan berbentuk buku hingga memunculkan syarikat seperti Sindiket Soljah, Neo-Hikayat, Silverfish dan Matahari Book pada era 2002 dan 2007 di sekitar Lembah Klang.

Tidak ketinggalan, 5 syarikat penerbitan indie yang wajar diberi perhatian adalah Lejen Press, Buku Fixi, Buku Hitam Press, Moka Mocha Ink dan Terfaktab Media.

Industri yang perlu diberi peluang

“Seperti mana bidang-bidang utama lain atau industri utama yang lain, para penggiat indie juga wajar diberi peluang untuk kehadapan bersama-sama tanpa perlu sekatan yang ketat dari pihak kerajaan dan masyarakat.

“Ini kerana, karya indie pada masa kini dilihat mempunyai prospek yang bagus untuk diketengahkan, bukan saja di peringkat domestik malah di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Menurut Syazrul, antara cara yang boleh ‘menjernihkan’ keadaan dan menambahbaik Indie di dalam dunia perbukuan adalah menghentikan persepsi negatif terhadap karya indie.

“Tidak keterlaluan jika penerbit perdana dan komersil menjadikan konsep perniagaan penerbit indie ‘business-model guerilla’ sebagai contoh,” katanya.

Di dalam kertas kerjanya itu, beliau yang juga ketua editor di Terfaktab Media juga mengesyorkan agar cabang Institut Terjemahan Bahasa Melayu (ITBM) dihadkan kepada penerbitan buku terjemahan sahaja.

Ini memandangkan penerbit buku sama ada swasta mahupun indie sukar bersaing dengan penerbitan daripada agensi kerajaan yang mempunyai modal besar di dalam menerbitkan sastera.

“Lebih utama, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) wajar dibebaskan daripada belenggu kerajaan. Sebaiknya PBAKL diuruskan oleh satu badan besar seperti Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) agar tiada campur tangan politik dan anasir propaganda yang merencatkan industri buku,” tegas Syazrul.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.