Sultanah Terengganu tuntut editor Sarawak Report mohon maaf dalam 8 hari

Mohd Haaziq Pillay Abdullah (kiri) memegang buku ‘The Sarawak Report – The Inside Story of 1MDB Expose’ sambil ditemani Vishnu Kumar Athi Kumar yang turut mewakili Sultanah Nur Zahirah.

PETALING JAYA: Sultanah Terengganu menghantar surat tuntutan kepada editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown serta 2 pihak lain untuk menuntut permohonan maaf bertulis dan ganti rugi RM100 juta daripada setiap pihak berhubung kenyataan fitnah dalam buku “The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose”.

Peguam, Datuk Mohd Haaziq Pillay Abdullah yang mewakili Sultanah Nur Zahirah berkata, surat tuntutan itu diserahkan kepada Rewcastle-Brown, penerbit tempatan Gerakbudaya Enterprise dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd, Khamis lalu.

Mereka diberi masa 8 hari, mulai 27 September lalu untuk membuat penarikan balik secara bertulis yang jelas dan permohonan maaf bertulis dalam terma yang dipersetujui peguam sultanah.

Beliau berkata, Rewcastle-Brown perlu membuat akujanji untuk tidak mengulangi kenyataan itu dan syarikat terbabit dikehendaki menarik balik buku mengandungi kenyataan fitnah terhadap sultanah daripada penjualan dan pengedaran.

“Tindakan undang-undang ini tidak ada kaitan dengan buku Rewcastle-Brown tentang 1MDB. Kami hanya memberi perhatian kepada muka surat 3 buku itu yang mengandungi kenyataan fitnah,” katanya dalam sidang media hari ini.

Peguam itu menegaskan surat tuntutan itu dihantar kepada ketiga-tiga pihak bagi melindungi integriti dan kepentingan sultanah serta memelihara nama baik institusi diraja Terengganu.

Beliau berkata, kenyataan itu dianggap fitnah kerana sultanah tidak pernah campur tangan dalam hal ehwal kerajaan.

“Sultanah tidak pernah terlibat dalam penubuhan Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA) serta dana kekayaan berdaulat dan baginda tidak pernah menyokong Jho Low untuk mendapatkan jawatan penasihat dalam TIA.”

Beliau berkata, Sultanah Nur Zahirah tidak mengenali Jho Low dan pengetahuan baginda tentang lelaki itu diperoleh berdasarkan laporan media.

Haaziq berkata, dakwaan Rewcastle-Brown itu membawa maksud atau difahami sebagai sultanah terlibat dalam amalan rasuah dan mempunyai kaitan serta hubungan rapat dengan Jho Low yang perilakunya boleh dipersoalkan.

Beliau seterusnya berkata, kenyataan itu tidak dapat dimaafkan, tidak berasas dan mempunyai aspek penghinaan yang menyebabkan kesusahan, malu dan mencalarkan reputasi Sultanah Nur Zahirah.

Katanya, anak guamnya mendapat tahu perkara itu selepas membaca buku itu dan Istana Terengganu mengarahkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Terengganu, Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham membuat laporan polis pada 14 September lalu.

Haaziq berkata, anak guamnya menuntut ganti rugi RM100 juta yang akan disumbangkan kepada badan amal.

Beliau mengulangi pernyataan maaf Rewcastle-Brown di laman Sarawak Report Khamis lalu bukanlah permohonan maaf.

“Saya ingin menyatakan apa yang dikatakan sebagai maaf ini dibuat hanya selepas kami memulakan tuntutan dan ia bukanlah permohonan maaf yang jelas.”

Katanya, Sultanah Nur Zahirah tidak akan memfailkan saman, jika ketiga-tiga pihak itu akur dengan tuntutan itu.

Ditanya jika Sultanah Terengganu pernah menemui Jho Low, katanya: “Tidak pernah”.

Turut hadir dalam sidang akhbar itu ialah Azmi dan peguam, Datuk Suraj Singh.