Pindah bicara Najib ke Putrajaya, pendakwa beritahu hakim

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwa hari ini meminta perbicaraan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dipindahkan ke akaun peribadinya dijalankan di Istana Kehakiman (PoJ) di Putrajaya.

Timbalan Pendakwa Raya Ad-hoc Datuk Sulaiman Abdullah memberitahu hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa lokasi itu sesuai kerana sebahagian besar saksi pendakwaan adalah dari Putrajaya.

“Bilik-bilik mahkamah di PoJ lebih besar dan orang ramai mempunyai akses yang lebih baik untuk mengikuti perbicaraan,” katanya.

Sulaiman, peguam yang dilantik untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes itu, berkata Pejabat Peguam Negara (AGC) akan menulis kepada Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Sulaiman untuk perubahan lokasi itu.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, beliau berkata lebih baik mengadakan perbicaraan di sana atas sebab keselamatan dan kawalan orang ramai.

Beliau berkata ia juga sesuai kerana pendakwaan perlukan mengangkut dokumen-dokumen dari AGC di Putrajaya ke mahkamah.

Nazlan berkata perkara itu boleh dibincangkan semasa persidangan pra perbicaraan antara pihak pendakwaan dengan pasukan pembelaan pada 25 Okt.

Pada 4 Julai, Najib didakwa atas 3 pertuduhan pecah amanah dan 1 salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 8 Ogos, beliau mengaku tidak bersalah atas 3 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang sama dan dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 24 dan 29 Disember 2014.

Hari ini, Najib tiba di mahkamah kira-kira jam 9.05 pagi bagi pengurusan kes penetapan tarikh perbicaraan bagi pendakwaan tersebut.

Beliau tidak bercakap dengan peguamnya atau bertukar pendapat dengan mereka. Tiada ahli keluarganya yang hadir.

Semasa pengurusan kes, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Nazlan bahawa beberapa dokumen yang terkandung dalam cakera padat tidak jelas dan tidak mempunyai penomboran.

Beliau juga berkata pendakwaan menyerahkan dokumen kepada Najib dan bukannya kepada pasukan pembelaan.

“Beberapa dokumen diserahkan kepada anak guam saya semalam di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ketika dia pergi ke sana untuk jumpa isterinya (Datin Seri Rosmah Mansor),” katanya.

Beliau menambah pihak pembelaan mahu dokumen dalam bentuk “hard copy” dengan penomboran supaya mereka boleh mengakses kandungan dengan lebih mudah.

“Kenapa beri dokumen dalam format CD? Kami tidak meminta layanan istimewa,” katanya, sambil menambah pihak pembelaan tidak akan menghadiri persidangan pra-perbicaraan kerana penyediaan beberapa dokumen dalam bentuk CD tidak dapat dibaca.

Beliau berkata pihak pembelaan juga bersedia membayar kos membuat salinan dokumen yang terkandung di dalam CD.

Sulaiman berkata Shafee kelihatan mencadangkan pihak pendakwaan mempunyai motif jahat dalam menjalankan kes itu.

“Kami tidak mengambil kesempatan terhadap tertuduh,” katanya. “Kami mematuhi undang-undang dengan ketat.”

Beliau berkata pihak pendakwaan memanggil pihak pembelaan untuk sidang pra-perbicaraan untuk menangani masalah itu, tetapi mereka tidak mahu datang.

“Kami tidak mahu mereka membazir masa kehakiman yang berharga untuk membuat permohonan remeh (untuk menghentikan perbicaraan) tetapi mereka memilih untuk mencari publisiti,” katanya.

Sulaiman menambah pihak pendakwaan bertujuan untuk mempercepatkan kes itu dan menjalankan perbicaraan yang adil.

Nazlan kemudian menetapkan persidangan pra-perbicaraan pada 25 Okt dan pengurusan kes seterusnya pada 31 Okt.

Perbicaraan Najib ditetapkan secara tetap dari 18 Feb tahun depan.