Setiausaha Mujahid mahu akhbar mohon maaf secara terbuka

KUALA LUMPUR: Akhbar berbahasa Inggeris, The Star digesa agar memohon maaf secara terbuka kerana menulis laporan yang salah sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan malam ini, Siti Zulaikha Zulkifli, setiausaha akhbar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, permohonan maaf perlu disiarkan dalam akhbar dan laman web mereka.

Katanya jika perkara berkenaan tidak dibuat dalam tempoh 24 jam tindakan lebih tegas akan diambil.

Semalam, akhbar tersebut menyiarkan laporan bertajuk “No More Moral Policing” serta versi dalam talian “No more night khalwat raids or intrusion into Muslims private lives, says Mujahid”.

(‘Tiada lagi kepolisan moral’ dan ‘Tiada lagi serbuan khalwat waktu malam atau merejah kehidupan peribadi orang Islam, kata Mujahid’)

Siti Zulaikha turut menegaskan tiada langsung dalam temubual bersama media berkenaan Mujahid mengeluarkan kenyataan seperti tajuk yang ditulis akhbar berkenaan.

Katanya selepas penelitian dibuat, beliau mendapati Mujahid langsung tidak menyebut perkataan seperti yang ditulis dalam pada perenggan pertama berita berkenaan iaitu “No more knocks on the door in the middle of the night and no more breaking down of doors by the religious authorities investigating reports of khalwat or other alleged wrongdoings”.

(Tiada lagi ketukan di pintu pada waktu tengah malam dan tiada lagi perbuatan pecahkan pintu oleh pihak berkuasa agama yang menyiasat laporan mengenai khalwat atau dakwaan kesalahan-kesalahan lain)

“Ekoran tajuk yang disensasikan serta perenggan pertama yang ditulis berdasarkan interpretasi wartawan media tersebut, berita ini menjadi tular sehingga menyebabkan salah faham terutamanya terhadap umat Islam di negara ini.

“Saya amat menghormati kebebasan media, namun ini tidak bermakna pihak media boleh menulis berita di luar konteks sehingga tercetusnya perdebatan awam dan memberi impak negatif kepada beliau,” katanya.