Bawa media serbu khalwat akan dikaji semula, kata Mujahid

KUALA LUMPUR: Penambahbaikan tatacara operasi standard (SOP) penguatkuasa agama akan mengkaji semula penglibatan media dalam serbuan khalwat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mujahid Yusof Rawa.

Ditemui pemberita selepas dialog “Rahmatan Lil Alamin di Malaysia” di Universiti Malaya malam tadi, menteri berkata ini bagi mengelakkan aib pelaku kesalahan khalwat tersebar.

“Sebab itu kita kata prinsip jangan mengintip, jangan mengaibkan orang. Perkara itu antara kita nak baiki,” katanya ketika ditanya pemberita tentang penglibatan media dalam SOP baharu penguatkuasa agama.

Ketika ditanya adakah jumlah kesalahan pelanggaran SOP serbuan begitu tinggi sehingga perlu ditambah baik, Mujahid berkata pihaknya tidak mempunyai statistik tetapi ia dibuat berdasarkan aduan.

“Sebagai contoh pasangan sudah kahwin tetapi pihak berkuasa rempuh masuk juga. Kes ini memang berlaku. Sebab itu saya tak faham bila kita nak perbaiki, ada yang menganggap kita nak biar orang berkhalwat,” katanya.

Mujahid juga berkata satu pertemuan membincangkan isu serbuan khalwat dengan para ulama akan diadakan malam esok di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Sebelum ini, Mujahid berkata pelaksanaan dan tatacara hukuman syariah bagi pencegahan khalwat hanya boleh dilakukan selepas proses nasihat, aduan dan bukti kukuh dibuat.

Katanya, pelaksanaan hukum jenayah syariah perlu mempunyai bukti kukuh sebelum tindakan pencegahan boleh dibuat oleh pihak berkuasa.

“Bila kita mahu kuatkuasakan sesuatu, kena pastikan sama ada ia berlaku dalam ruangan awam atau ruang peribadi. Jika anda nampak jiran anda membuat sesuatu yang tidak baik, maka tanggungjawab anda sebagai jiran ialah menasihati orang itu.

“Jika perkara yang berlaku dalam ruang peribadi melibatkan orang awam, seperti masyarakat mengesyaki sesuatu yang mencurigakan dan mereka membuat aduan, maka di situlah SOP mula berjalan.”

Sebelum ini, Mujahid dilaporkan mengutuk tindakan memecahkan pintu untuk menahan pesalah khalwat dan berharap ia tidak akan berlaku dalam pembaharuan prosedur yang akan dilaksanakan.

Terbaharu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata kerajaan akan mengadakan perbincangan khas dengan jabatan agama Islam negeri minggu depan berhubung penambahbaikan SOP serbuan khalwat.

Beliau mengulas seruan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor untuk menambah baik SOP serbuan khalwat bagi mengelakkan imej Islam sebagai agama toleransi tercemar.