Mengapa belum lulus parti kecil saya, kata Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR: Datuk Ibrahim Ali tertanya-tanya mengapa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) belum meluluskan penubuhan parti politik baharu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia atau (Putra).

Ibrahim, yang juga pengasasnya berkata, sudah hampir 2 bulan dia membuat permohonan namun sehingga hari ini tidak ada sebarang perkembangan.

“Waktu kerajaan BN bila kemuka permohonan, dalam tempoh sebulan sudah bising kalau tak dilulus,” katanya pada sidang media di pejabat Perkasa hari ini.

“Kerajaan PH sekarang yang dikata terbuka, hebat mendukung demokrasi, memperkasa hak asasi tak lulus lagi permohonan kami.”

Ibrahim berkata kelulusan parti sepatutnya diluluskan secepat pendaftaran NGO, iaitu dalam tempoh seminggu.

Lagipun, parti berasaskan kaum itu tidak mengancam mana-mana orang, katanya.

“Pesta Oktoberfest semua boleh buat tapi saya nak tubuh parti sampai hari ini tak lulus,” katanya.

“Saya nak wujud parti ini supaya kita ada peluang, selama ini Perkasa. Kita tak ada parti yang bercakap mengenai agenda Melayu dan Islam.”

Ibrahim mengumumkan penubuhan Putra pada 17 Ogos lalu, dengan penekanan kepada golongan marhaen.

Katanya, parti yang diwujudkan bersama bekas pengerusi Mara Tan Sri Khalid Yunus itu berasaskan kelas bawahan dan pertengahan, termasuk golongan Mat Rempit, “yang tidak berpuas hati dengan suasana negara hari ini”.