Pengerusi manifesto PH: Kami janji kaji konsesi, cara turun kadar tol

PETALING JAYA: Pengerusi Jawatankuasa Manifesto Pakatan Harapan (PH), Datuk Rais Hussin berkata rakyat keliru dengan janji gabungan itu berkaitan penghapusan tol kerana tidak membaca manifesto berkenaan dengan teliti.

Katanya, PH menerusi manifestonya berjanji akan mengkaji semula perjanjian dengan syarikat konsesi lebuh raya, berusaha mencari jalan mengurangkan kadar tol dan memansuhkan kutipan tol, kalau boleh.

“Tun (Dr Mahathir Mohamad) menyatakan fakta. Masalahnya ramai yang tidak baca manifesto itu (betul-betul).

“Jadi, Tun adalah betul dengan berkata mustahil untuk menghapuskan tol sepenuhnya kerana tol diperlukan untuk penyelenggaraan lebuh raya.

“Kami mahu kutipan tol serendah mungkin dengan memastikan kos penyelenggaraan lebuh raya tidak tinggi seperti sebelum ini. Semuanya ada dalam manifesto itu,” katanya kepada FMT.

Semalam, Dr Mahathir berkata, lebuh raya tanpa tol tidak dapat dilaksanakan kerana siapakah yang akan menyelenggara atau membina jalan baru, jika kerajaan memansuhkan kutipan tol.

“Satu-satunya cara untuk mengadakan laluan percuma dan tiada tol adalah dengan menaikkan harga petrol,” katanya sambil menambah beliau sebenarnya tidak bersetuju dengan janji lebuh raya bebas tol dalam manifesto pilihan raya PH.

Perdana menteri berkata, England tiada jalan bertol, tetapi negara itu mengenakan cukai sangat tinggi ke atas petroleum dan apabila harga petroleum naik, kenaikan cukai menjadi lebih tinggi.

Janji ke-6 dalam manifesto PH menyatakan gabungan itu akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik bagi mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.

Halaman 29 manifesto PH menyatakan ia akan mengambil alih konsesi lebuh raya dengan memberi pampasan adil kepada syarikat konsesi.

Rais yang juga ketua Biro Strategi dan Dasar PPBM berkata, gabungan itu akan mengubah suai manifestonya kerana menemui banyak “benda baru” selepas menang dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.

“Kita akan menilai dan mengubai suai manifesto itu, tetapi prinsip manifesto itu akan dikekalkan.

“Apa pun, janji tetap janji,” katanya.

Perdana menteri sebelum ini berkata, kerajaan PH perlu menyemak semula beberapa perkara dalam manifestonya kerana sebahagian janji itu akan mendatangkan kerugian sangat besar jika dilaksanakan.

Awal bulan ini, Menteri Kerja Raya, Baru Bian dilaporkan berkata, keputusan berhubung penghapusan tol lebuh raya akan diketahui dalam 2 hingga 3 bulan lagi.

Beliau berkata, pihaknya sudah menerima beberapa cadangan syarikat konsesi lebuh raya terlibat dan akan menilai semua cadangan itu sebelum membuat sebarang keputusan.