Usul bawa Bung ke jawatankuasa dewan ditarik balik

Zuraida berkata, beliau menerima permohonan maaf Bung Moktar.

KUALA LUMPUR: Usul untuk merujuk Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas perbuatannya mengeluarkan kata-kata kesat ditarik balik.

Penarikan itu dibuat setelah Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berpuas hati dengan permohonan maaf yang dibuat Bung ketika usul itu dibahaskan.

“Setelah meneliti dan mendegar permohonan maaf yang dibuat Bung bahawa dia tidak akan ulangi perbuatan (mengeluarkan kata kesat), saya terima permohonan maaf itu.

“Kita mahu jadikan Parlimen ini ‘world class’ dan perbahasan isu remeh-temeh ini sepatutnya tidak berbangkit dan kita kerajaan amalkan sikap terbuka dan saya harap kita buang tabiat buruk ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum itu ketika usul itu dibahaskan Bung memohon maaf secara terbuka di Dewan Rakyat dan berjanji tidak akan mengulanginya pada masa akan datang.

“Saya sedari perbuatan saya telah langgar paraturan. Saya kesal dengan ungkapan itu dan dengan hati suci saya mohon maaf dan harap Yang DiPertua Dewan Rakyat, dewan yang mulia, terutama Ahli Parlimen wanita menerima permohonan maaf ini,” katanya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata usul itu ditarik balik dan menganggap isu tersebut sudah selesai.

“Dengan semangat ukhuwah ini diharap dapat meningkatkan kedudukan dewan yang mulia ini,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Speaker Datuk Rashid Hasnon meminta Bung menarik balik perkataan kesat itu.

Pada 7 Ogos lalu, Bung mengakui kesilapannya mengeluarkan perkataan “f*** you” dan “main pela***” serta menganggapnya sebagai tidak sopan.

“Saya dari awal tidak merujuk sesiapa, saya ingin menarik balik perkataan tersebut, saya menarik balik. Memang ia tidak sopan,” katanya.

Terdahulu, Dewan Rakyat kecoh gara-gara perkataan “f*** you” dan “main pela***”.

Ia bermula apabila Willie Mongin (PH-Puncak Borneo) bangkit mencelah ucapan Bung berkenaan harga di pasar borong Selayang tidak turun selepas GST dimansuhkan.

Willie bertanya sama ada Bung pergi pasar borong tersebut atau ke casino, menyebabkan Bung naik angin.