
Ditanya sama ada beliau percaya Khashoggi sudah meninggal dunia, Trump berkata: “Nampaknya begitulah. Ia adalah sesuatu yang amat menyedihkan.”
Agensi berita China, Xinhua melaporkan Trump sebagai berkata, jika Saudi disahkan dalang di sebalik kematian Khashoggi, negara itu bakal berdepan akibat “amat buruk.”
“Bagaimanapun, kami masih menanti hasil 3 siasatan berbeza dan kita akan mengetahui kebenarannya tidak lama lagi,” katanya pada Khamis.
Terdahulu, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo memberi taklimat kepada Trump mengenai lawatannya ke Saudi dan Turki baru-baru ini.
Diplomat tinggi AS itu berkata, Saudi perlu masa “beberapa hari lagi” untuk menyiasat misteri kehilangan Khashoggi.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin berkata, selepas menemui Trump dan Pompeo, beliau membuat keputusan membatalkan perjalanannya ke Saudi bagi menghadiri satu persidangan perdagangan utama.
Kes Khashoggi, yang merupakan wartawan dan kolumnis akhbar Washington Post, telah menjadi sumber utama ketegangan antara Arab Saudi dan negara Barat.
Khashoggi dilaporkan hilang sejak beliau memasuki Konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu.
Laporan yang tidak sahih menyatakan Khashoggi mungkin dibunuh dalam kawasan konsulat itu, namun dakwaan itu disangkal pegawai Saudi yang menyifatkannya “tidak berasas”.