Kematian wartawan: Trump tak puas hati penjelasan Saudi

Kematian wartawan: Trump tak puas hati penjelasan Saudi

Pihak berkuasa Saudi pada Sabtu lalu berkata, Jamal Khashoggi dilaporkan meninggal dunia dalam satu 'pergaduhan' di konsulat.

Jamal Khashoggi dilaporkan hilang selepas memasuki Konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu. (Gambar Reuters)
WASHINGTON:
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak berpuas hati dengan penjelasan kerajaan Arab Saudi berhubung kematian wartawan, Jamal Khashoggi.

“Kita ada wakil di Arab Saudi dan pegawai perisikan di Turki. Kita lihat apa maklumat yang ada,” katanya di Rumah Putih sebelum menghadiri majlis perhimpunan di Texas.

Menurut agensi berita Xinhua, Pengarah CIA, Gina Haspel berlepas ke Turki Isnin lalu, ketika dunia menjangkakan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengumumkan negara itu akan membongkar punca sebenar kematian wartawan itu.

Penulis Washington Post itu dilaporkan hilang selepas memasuki Konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu.

Sabtu lalu, pihak berkuasa Saudi berkata, Khashoggi dilaporkan meninggal dunia dalam satu “pergaduhan” di konsulat.

Dalam satu wawancara dengan Fox News Ahad lalu, Menteri Luar Saudi, Adel al-Jubeir menyifatkan pembunuhan “operasi ganas” yang memperlihatkan kuasa mengatasi tanggungjawab.

“Mereka membunuh Jamal Khashoggi di konsulat dan cuba menutup perbuatan itu.”

Selepas mendedahkan hasil siasatan awal, pihak pendakwaan awam Saudi mengumumkan 18 suspek ditangkap berkaitan pembunuhan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.