Kerajaan perlu masa kemuka formula agih hasil kepada Sabah, Sarawak

Lim Guan Eng juga berkata Sabah dan Sarawak tidak pernah minta bantuan Kerajaan Persekutuan untuk bayar gaji kakitangan.

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan mengambil masa sekurang-kurang setahun untuk mengemukakan formula perkongsian hasil kerajaan dengan Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata formula dan kaedah perkongsian itu hanya dilakukan selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan dan berharap semua pihak memahami dan memberi kerjasama.

“Saya nak sebut sebelum ini tak ada formula seperti ini dirancang, sedangkan kita tunggu hampir lebih 50 tahun.

“Pada masa sama ‘time frame’ harus beri masa, kita harap dilaksanakan tahun hadapan. Tetapi bagi laksana tahun depan kita ulangi ia kena lihat kedudukan kewangan sehingga keadaaan yang mengizinkan,” katanya di Dewan Rakyat.

Lim berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Chen (PKR-Subang) yang meminta menyatakan sama ada kerajaan akan mengemukakan satu formula perkongsian hasil kerajaan untuk Sabah dan Sawarak dan bila “time frame” untuk mengemukakannya.

Lim menegaskan kerajaan buat masa ini sedang menghadapi cabaran dalam mendepani kedudukan fiskal dan kewangan negara ekoran skandal yang diwariskan kepada kerajaan PH.

Beliau berkata kerajaan tidak mempunyai masalah dan tidak menjadi isu besar untuk laksanakan formula itu sekiranya skandal itu tidak diwariskan kepada kerajaan PH.

“Suka tak suka, mahu tak mahu, rela tak rela, kena terima hakikat dan fakta berdepan cabaran dan kita akan berusaha sebaik boleh secara bersama tidak kira Semenanjung atau Sabah dan Sarawak. Walaupun dipisahkan Laut China Selatan dan jauh jarak tetapi dekat di hati,” katanya.

Sebelum itu, Lim berkata selaras dengan Teras 4 Buku Harapan, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 September lalu bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak Perjanjian Malaysia 1963 dan membuat pengesyoran kepada Kerajaan Persekutuan berhubung pelaksanaan hak dan autonomi Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata itu dilaksanakan melalui 3 peringkat iaitu Jawatankuasa Pemandu, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja yang masing-masing dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) dan juga dianggotai pakar bidang tertentu.

“Jawatankuasa ini akan memberi keutamaan kepada prinsip keadilan dan kesaksamaan bagi memastikan semua pihak mendapat keadilan seperti yang diperuntukkan di sisi undang-undang negara demi menegakkan kedaulatan undang-undang atau ‘rule of law’ di negara kita.

“Isu ketidakseimbangan pembangunan fizikal dan sosio-ekonomi di antara negeri-negeri di Semenanjung Malaysia berbanding negeri Sabah dan Sarawak akan dapat diberikan penekanan yang lebih serius.

“Ini sekaligus akan dapat membantu Kerajaan Persekutuan dalam merangka pelan pembangunan ekonomi yang lebih holistik, yang mampu merapatkan jurang ekonomi serta adil dan sama rata di antara negeri-negeri Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Lim berkata kerajaan Sabah dan Sarawak tidak pernah meminta bantuan Kerajaan Persekutuan untuk membayar kakitangan awam mereka.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Awang Hashim (PAS-Pendang) yang meminta Lim mengemukakan sama ada 2 negeri itu ada meminta bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Nampaknya Pendang ada udang di sebalik batu. Sabah dan Sarawak tidak pernah minta bantuan Kerajaan Persekutuan untuk bayar gaji kakitangan.

“Tidak seperti negeri tertentu yang mempunyai surat hitam putih yang meminta wang kerana tidak mampu bayar gaji kakitangan,” katanya.