Lebih 100 ahli keluarga tahanan, NGO protes Sosma

Lebih 100 ahli keluarga tahanan, NGO protes Sosma

Penunjuk perasaan berarak dari Padang Merbok ke bangunan Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada menteri dalam negeri.

KUALA LUMPUR: Kira-kira 100 ahli keluarga tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) berarak dari Padang Merbok ke bangunan Parlimen hari ini untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penunjuk perasaan yang membawa poster dengan slogan seperti “Hentikan akta firaun” diiringi polis sepanjang perarakan itu.

Mereka bercadang mengadakan demonstrasi di luar Parlimen sebagai tanda solidariti dengan tahanan, tetapi dihalang berbuat demikian oleh polis.

Ini menyebabkan berlaku pertikaian, tetapi berjaya diselesaikan selepas rundingan diketuai Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Sevan Doraisamy dan Mahathir Abdul Rahman, pengarah NGO Desak Sampai Mansuh yang menganjurkan bantahan itu.

Beberapa wakil kemudiannya dibenarkan memasuki kawasan itu untuk menemui menteri.

Sevan berkata, mereka pada mulanya merancang menyerahkan memorandum itu oleh 15 wakil dan ahli keluarga, tetapi “atas beberapa sebab hari ini, ada lebih banyak sekatan”.

Sosma antara undang-undang yang dijanjikan Pakatan Harapan untuk dimansuhkan dalam manifesto pilihan raya umum ke-14.

Di bawah Sosma, seorang individu boleh ditahan maksimum 28 hari dan polis boleh menangguhkan akses kepada keluarga dan peguam sehingga 48 jami selepas ditahan.

Antara mereka yang pernah ditahan di bawah akta itu ialah pengkritik 1MDB, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang, serta bekas pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah yang ditahan selama 11 hari kerana mengetuai perhimpunan Bersih 5 di Kuala Lumpur pada November 2016.

Menurut Pengarah Suaram, Kua Kia Soong, kini terdapat lebih 1,000 tahanan Sosma di negara ini.

Sementara itu, Chin yang kini ahli Parlimen Petaling Jaya berkata, setiap butiran penahanan Sosma perlu direkodkan.

“Ini ialah bukti yang kita perlukan untuk cuba memansuhkan akta itu,” katanya sambil menambah beliau memahami rasa tidak puas hati mereka kerana beliau pernah ditahan di bawah akta itu.

Memorandum itu antara lain menggesa penggunaan Sosma dihentikan sehingga semakan semula selesai.

Suaram dan DSM turut meminta semakan semula ke atas prosedur dalam pemulihan tahanan.

Katanya, individu yang sudah menjalani hukuman mereka perlu dikecualikan daripada dikenakan tindakan di bawah undang-undang keselamatan lain kelak.

Memorandum itu turut menggesa tahanan diberi lebih banyak masa di luar sel dan menyertai aktiviti vokasional seperti banduan lain, bukannya dimasukkan dalam kurungan bersendirian, kecuali mereka mendatangkan risiko kepada banduan lain.

Menerusi memorandum itu, Suaram dan DSM turut mencadangkan sebuah tribunal ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan penyalahgunaan akta itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.