Ethiopia lantik presiden wanita pertama

ADDIS ABABA: Parlimen Ethiopia melantik Sahle-Work Zewde sebagai presiden wanita Ethiopia yang pertama pada Khamis.

Menurut agensi berita Xinhua, Zewde dilantik sebagai presiden susulan peletakan jawatan Presiden Mulatu Teshome.

Zewde, 68, dalam ucapan sulungnya selepas mengangkat sumpah jawatan berikrar akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

Beliau berkata perpaduan yang wujud sebelum ini perlu dikekalkan selain pembaharuan berterusan kerajaan Ethiopia dan struktur tadbir urus.

Sebelum dilantik, Zewde merupakan wakil tetap di Kesatuan Afrika.

Pelantikannya sejurus selepas permohonan peletakan jawatan Teshome diterima dalam satu sidang Parlimen tergempar.

Teshome, 63, dilantik sebulat suara sebagai presiden pada 7 Oktober 2013 ketika berkhidmat sebagai duta Ethiopia ke Turki.