Polis: ‘Jammer’ halang capaian internet ditemui di lokasi pemilihan PKR Kuala Selangor

Polis berkata, ‘Mobile Phone Jammer 6 Antennas’ dijumpai di tempat duduk Stadium Tertutup Kuala Selangor dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, iaitu mendatangkan khianat.

SHAH ALAM: Polis mengesahkan alat menghalang capaian isyarat internet atau “Jammer” dijumpai di ruang atas tempat duduk Stadium Tertutup Kuala Selangor yang menjadi lokasi pemilihan PKR Bahagian Kuala Selangor hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Md Asri A Wahab berkata, “Mobile Phone Jammer 6 Antennas” itu dijumpai di bahagian tempat duduk dalam stadium oleh petugas Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKL) yang melakukan kerja pembersihan, selepas pemilihan bahagian itu ditangguhkan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, iaitu mendatangkan khianat yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 5 tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan masalah berkaitan internet, pemilihan PKR Bahagian Kuala Selangor yang dijadualkan hari ini ditangguhkan.

Terdahulu, satu laporan polis dibuat seorang calon ketua Pemuda PKR Bahagian Kuala Selangor, R Sabahbathi di Balai Polis Kuala Selangor kira-kira 2 petang tadi, susulan penemuan alat itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Rashid Din ketika dihubungi Bernama berkata, pemilihan di bahagian Kuala Selangor terpaksa ditangguhkan ke tarikh yang akan diumumkan nanti, berikutan masalah internet.

Beliau berkata, JPP kecewa dengan dakwaan cubaan sabotaj di pemilihan bahagian Kuala Selangor, selepas sistem e-undi tidak dapat dilaksanakan, ekoran ketiadaan capaian internet yang memaksa pihaknya menangguhkan pemilihan bahagian itu pada 12 tengah hari.

“Laporan polis sudah dibuat mengenai penemuan alat itu dan kita harap polis dapat menjalankan siasatan terperinci.”

Mengenai kekecohan di bahagian Ampang dan Tanjong Karang hari ini, beliau berkata, ia merupakan kekecohan yang biasa berlaku setiap kali pemilihan berlangsung.

Penundaan pemilihan bahagian Kuala Selangor itu menjadikan 5 daripada 6 bahagian memilih kepimpinan PKR hari ini, iaitu Tanjong Karang, Ampang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat.