Terengganu lancar rumah perlindungan remaja hamil luar nikah

Terengganu lancar rumah perlindungan remaja hamil luar nikah

Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu berkata, inisiatif 'safe motherhood' itu bagi mengelakkan pengguguran haram, selain memberi rawatan antenatal, postnatal, psikososial dan bimbingan kerohanian kepada bakal ibu.

Dr Mohd Jusoh (baju batik hitam, tengah) berkata, Rumah Generasiku Sayang yang terletak di Bukit Payong, Marang, menerima remaja dari Terengganu dan negeri lain yang tidak mempunyai hala tuju selepas hamil luar nikah. (Gambar Facebook)
MARANG:
Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) hari ini melancarkan Rumah Generasiku Sayang (RGKS) yang pertama di negeri ini bagi memberi perlindungan kepada remaja yang hamil tanpa ikatan perkahwinan.

Pengarahnya, Dr Mohd Jusoh berkata, buat permulaan, RGKS yang terletak di Bukit Payong, di sini, hanya mampu menerima 8 penghuni pada satu-satu masa dan akan dikendalikan kakitangan JKNT serta sukarelawan yang bergabung tenaga memberi perkhidmatan kepada remaja tidak bernasib baik.

“Program ini adalah satu inisiatif ‘safe motherhood’ oleh Kementerian Kesihatan bagi membantu remaja hamil tanpa nikah mendapat rawatan antenatal, postnatal, psikososial, bimbingan kerohanian dan mengelakkan pengguguran haram.

“Ia mengambil model RGKS yang diperkenalkan Johor bagi memberi perlindungan serta kesejahteraan kepada ibu dan bayi sebelum diteruskan di Kelantan.

“JKNT juga telah menubuhkan Persatuan Kebajikan Generasiku Sayang (PKGKST) untuk tujuan pengurusan rumah itu,” katanya selepas Majlis Pelancaran RGKS Terengganu “Raudhatul Nisaa” hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd berkata, RGKS yang beroperasi sejak 1 Oktober lalu tidak hanya terbuka kepada remaja dari negeri ini, mereka dari luar yang mempunyai masalah kehamilan luar nikah dan tidak mempunyai hala tuju juga boleh mendapatkan bantuan.

“Saya nasihatkan remaja yang mempunyai masalah janganlah mengambil tindakan melulu dengan menggugurkan kandungan, terutama dengan membeli pil secara atas talian kerana ia bukan sahaja boleh membunuh bayi, tetapi ibu itu sendiri berisiko akibat pendarahan teruk.

“Jika ada masalah, mereka sebenarnya boleh merujuk klinik kesihatan (KK) melalui program Klinik Mesra Remaja (KMR) yang dimulakan di KK Mercang dan KK Kuala Besut.”

Beliau turut menyeru masyarakat dan syarikat korporat menyumbang serta mendaftarkan keahlian dengan PKGKST bagi membantu membiayai penjagaan RGK.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.