
Sekalipun keadaan cuaca baik di perairan Tanjung Karawang, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih gagal mengesan bangkai pesawat berkenaan setakat 6.00 petang waktu Indonesia barat.
Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas), Muhamad Syaugi berkata pasukan SAR turut menggunakan peralatan canggih seperti “multibeam Echo Sounder”, “Side Scan Sonar”, “Magnetometer” dan “Remotely Operated Underwater Vehicle” (ROV) bagi mengesan bangkai pesawat itu.
“Kami masih mencari khususnya badan pesawat itu, menggunakan peralatan berkenaan sejak 10.30 pagi tadi, tapi masih gagal mengesan bangkai pesawat dan kotak hitam pesawat,” katanya.
Muhamad Syaugi berkata pencarian akan diperluaskan lagi ke arah selatan dan barat daya perairan itu.
Sementara itu Pengarah Kesiapsagaan Basarnas Didi Hamzar tidak menolak kemungkinan pesawat itu terbenam di dasar laut.
“Besar kemungkinan pesawat meluncur dan terbenam ke dasar laut akibat kelajuan tinggi (ketika terhempas),” katanya.
Menurut laporan media Indonesia, kawasan perairan berkenaan yang berlumpur dilihat menyukarkan pasukan penyelam mengesan bangkai pesawat berkenaan.
Berkenaan penemuan cebisan anggota badan yang dipercayai penumpang pesawat itu, Muhamad Syaugi berkata setakat 5.00 petang tadi, sebanyak 34 bungkusan jenazah dibawa ke Rumah Sakit Polri (Hospital Polis Indonesia).
“Kantung itu berisi berupa potongan (cebisan) badan, pihak Rumah Sakit Polri mengatakan untuk mengidentifikasi perlukan sekitar 4 atau 5 hari,” katanya.
Beliau berkata setakat ini, pihak berkuasa sudah mendapatkan lebih 70 profil DNA daripada anggota keluarga penumpang untuk dipadankan dengan DNA jenazah yang ditemui.
Beliau berkata pasukan SAR hari ini seramai lebih 800 anggota terdiri daripada anggota tentera, polis dan Basarnas akan melakukan operasi 24 jam selama 7 hari bagi mengesan bangkai dan kotak hitam pesawat itu, menggunakan 35 unit kapal, 3 helikopter dan 3 pesawat jenis HR-1519, HR-1301 dan CN-235.
Penerbangan JT610 itu membawa 181 penumpang dan lapan anak kapal itu terhempas selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada 6.20 pagi semalam.
Pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 itu dilaporkan terputus hubungan sebelum terhempas itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Depati Amir Pangkal Pinang pada 7.10 pagi semalam waktu Indonesia barat.
Tiada rakyat Malaysia terbabit dalam nahas itu.