
Demonstrasi anjuran sebuah gabungan terdiri daripada kira-kira 40 NGO Islam dinamakan Gerakan Pembela Ummah menyaksikan peserta melaungkan slogan “Jahanam ICERD” yang merujuk kepada Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum.
Kumpulan itu mahu hak Bumiputera dan Yang di-Pertuan Agong diutamakan seperti diperuntukkan di bawah Perkara 143 Perlembagaan Persekutuan.
Beberapa wakil turut menyerahkan memorandum membantah ICERD kepada pejabat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Memorandum itu diterima Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohamed Farid Md Rafik.
Beberapa pegawai kerajaan, termasuk Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, turut cuba bercakap dengan kumpulan itu.
Presiden Pertubuhan Jalur Tiga Malaysia, Mohd Fauzi Shaffie dalam ucapannya berkata, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak istimewa kepada Bumiputera, tidak boleh dikompromi kerana ia akan mengugat kestabilan negara.
Beliau menolak dakwaan penyokong ICERD yang ratifikasi konvensyen itu tidak akan menjejaskan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pemimpin Ikatan Muslimin Malaysia, Omar Kassim berkata, mereka tidak mendiskriminasi kaum lain, tetapi hanya menegakkan hak Bumiputera dan kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Suatu ketika dulu, British cuba memberi kewarganegaraan kepada orang Cina dan India.
“Dalam usaha membangunkan negara, kita perlu mengimbau sejarah bagaimanapun kita menubuhkan negara. Ada banyak sejarah di sebaliknya, khasnya berhubung Islam, kontrak sosial dan hak istimewa orang Melayu.”
Omar berkata, ICERD tidak patut menjadi isu.
“Kita hidup dengan aman untuk sekian lama. Kita orang Melayu tidak pernah mendiskriminasi hak kaum lain untuk mengamalkan agama mereka.
“Ratifikasi PBB ialah satu langkah globalisasi. Ini cara mereka memaksa undang-undang mereka dilaksanakan ke atas kita.
“Mereka memaksa kita mematuhi Konvensyen Hak Asasi Manusia, sedangkan kita mempunyai perlembagaan sendiri, itu akan menyebabkan negara tidak mempunyai kedaulatan mereka sendiri.”