Tak boleh dedah perjanjian penyelesaian 1MDB-Ipic, kata Guan Eng

KUALA LUMPUR: Putrajaya tidak boleh mendedahkan dokumen berhubung perjanjian penyelesaian antara syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (Ipic) dan 1MDB kerana berbuat demikian akan menjadi subjudis, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Menjawab gesaan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak kepada kerajaan untuk perjanjian itu, Lim tertanya mengapa ia tidak didedahkan oleh pentadbiran dulu.

“Najib bercakap tentang perkara ini selepas dia didakwa. Dia tahu kita tidak boleh berbuat demikian kerana ia akan menjadi subjudis.

“Saya ingin tanya mengapa kerajaan lalu tidak mendedahkan dokumen itu? Hanya sekarang kamu mahu kami dedahkannya.

“Saya tak boleh bercakap tentang Ipic sekarang kerana ia kes di mahkamah,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Sementara itu, Lim berkata pendakwaan terbaharu Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs Tim Leissner, rakannya Roger Ng dan ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho membuktikan “skandal 1MDB berlaku”.

“Hakikatnya pengakuan bersalah Tim Leissner membuktikannya. Ini sangat penting. Tim akui salahlaku berkaitan dengan 1MDB. Bukti paling kukuh yang membuktikan apa yang disebut oleh pihak Amerika Syarikat.

“Bekas pegawai Goldman Sachs mengaku mereka terlibat dalam perkara ini, jadi jangan kata ia tidak berlaku. Sehingga hari ini masih ramai yang sokong orang itu. Ini saya tak faham sedangkan bukti ini terdedah kepada semua,” katanya.

Najib sedang berdepan pelbagai pertuduhan rasuah, salahguna kuasa dan pengubahan wang berkaitan 1MDB.

Mengenai keberadaan Low, Lim berkata dia sudah bercakap dengan duta China yang berkata ahli perniagaan itu tidak berada di China, kecuali dia menggunakan nama lain dalam pasportnya.

“Menurut rekod, tiada ada rekod orang bernama Jho Low di China. Mereka belum memproses orang bernama Jho Low memasuki negara itu,” katanya.