Kenali 9 kuih dan manisan tradisional Deepavali

Setibanya perayaan Deepavali, banyak perkara yang diambil kira dalam mempersiap sediakan diri sempena sambutan tersebut.

Rumah dibersihkan, hiasan digantung, pakaian tradisional lengkap, sanak-saudara sudah dijemput, tetapi apa yang lebih penting?

Makanan!

Setibanya hari Deepavali, makanan menjadi satu lagi elemen yang disambut. Selain makanan sarapan seperti thosai atau idli dengan kari ayam atau nasi briyani untuk makan tengah hari dan chapathi untuk makan malam, tidak dilupakan kuih-muih yang dimasak beberapa hari lebih awal.

Maklumlah, ikutkan Deepavali bukan hanya mengenai biskut tart nenas atau almond coklat tetapi keutamaan turut diberikan kepada kuih-muih tradisional. Bagaimanapun, ramai yang semakin lupa kewujudan kuih muih tradisional malah kerana kesukaran menyediakannya generasi muda India lebih memilih untuk membuat biskut atau kek sahaja.

Selagi mampu dan ada ilmu, wajarlah kita mengekalkan tradisi daripada ditelan zaman. Lagipun rakan-rakan bukan India juga akan pasti tertarik dengan keunikan kuih-muih kaum India yang suatu masa dahulu wajib dibuat pada Deepavali. Tak percaya, cuba tanya ibu bapa anda atau datuk dan nenek, mesti mereka ada kenangan.

FMT Ohsem senaraikan kuih-muih tradisi India dan sedikit keterangan. Jom!

Murukku


Mujur murukku masih kekal dan menjadi identiti Deepavali hingga hari ini. Anda semua mesti kenal kan!

Achi murukku


Atau dikenali bunga ros, adalah makanan manis wajib ada pada Deepavali dan lazimnya menjadi kegemaran kanak-kanak. Dibuat mengunakan tepung beras, ada pilihan dengan telur dan vegetarian, tanpa telur. Apapun ia juga masih disediakan sehingga ke hari ini.

Nei urundai


Bebola minyak sapi juga kegemaran kanak-kanak dan mereka yang sukakan makanan manis. Diperbuat menggunakan tepung kacal dal, minyak sapi (yang banyak), rempah dan buah kismis, setelah disiap ia dibungkus dalam kertas warna.

Chittu urundai


Sejenis manisan bebola kecil yang semakin pupus daripada senarai kuih-muih Deepavali. Dibuat menggunakan tepung kacang hijau, kelapa parut, bijan hitam dan jaggery (sejenis gula), dicicah dengan campuran tepung gandum dan tepung beras sebelum digoreng dalam minyak sapi. Memang sedap!

Ketti urundai


Mungkin makanan bebola segengam tapak tangan masih diamalkan dalam keluarga India tertentu. Menariknya mengenai makanan yang juga menggunakan tepung dal dan kacang hijau ini ialah teksturnya yang sangat keras, mencabar “pengalaman makan” anda. Namun, itulah menariknya mengenai “ketti urundai” ini.

Athirasam


Makanan wajib ada dan disediakan bersama kuih-muih tradisi yang lain. Athirasam, salah satu makanan yang dikesan kewujudannya pada abad ke-16 lagi di Tamil Nadu dan sering kali dibuat untuk majlis-majlis besar khususnya majlis keagamaan dan perkahwinan. Ia juga dikenali sebagai denderam di Malaysia tetapi penyediaaan resepi sedikit berbeza.

Sippi


Ia sejenis makanan yang paling mudah tetapi jarang disediakan, mungkin kerana tiada penggemar ataupun, versi lebih baik adalah biskut. Dibuat menggunakan tepung gandum, gula digoreng dalam minyak, si pembuat boleh memilih untuk membiarkannya begitu sahaja atau disalut dengan serbuk gula.

Seedai


Juga makanan berbentuk bebola kecil dan digoreng dalam minyak dan boleh dimasak sama anda sebagai bukan manisan mahupun bergula. Ia menggunakan tepung gandum, kelapa parut dan rempah ratus serta pilihan tepung dal. Namun ‘seedai’ juga antara makanan yang semakin hilang dari isi rumah mereka yang menyambut Deepavali.

Kandarppam


Ialah sejenis manisan berbentuk apam tetapi lebih kecil dan membabitkan beberapa jenis bahan untuk disediakan. Semakin pupus atau sukar ditemui, “Kandarppam” atau manisan yang popular dalam kalangan etnik Chettinad di Tamil Nadu, India.

Ada lagi makanan kuih muih India yang kami terlepas dalam senarai ini? Minta kongsi bersama penjelasan mengenainya. Apapun, kalau anda jumpa masakan yang dinamakan di atas, jangan lupa merasanya kerana kebanyakan yang disenarai sememangnya sukar diperolehi.