
Orang Melayu di negara ini biasanya hidup dengan satu dua kepercayaan yang karut atau dikenali sebagai “khurafat”. Salah satunya adalah meminta izin daripada “datuk nenek” kalau hendak buang air di tempat selain tandas.
Terus-terang, sampai hari ini tidak diketahui rasional atau sebab izin daripada datuk nenek ini diperlukan sebelum melepaskan hajat. Datuk nenek siapa yang akan terkena tempias air kencing itu? Kenapa datuk nenek sahaja? Kenapa dalam tandas tak perlu minta izin? Datuk nenek tak masuk tandas ke?
Makin banyak ditanya, semakin nampak ketololan kepercayaan dan amalan sejak zaman berzaman itu.
Ini tidak ada bezanya dengan pelaksanaan hukuman mati dalam sistem perundangan jenayah di negara ini.
Sangat susah untuk diterima kita mempercayai khurafat bahawa hukuman mati dapat menakutkan penjenayah sekali gus mencegah berlakunya jenayah di sesebuah negara.
Akan tetapi sehingga hari ini jenayah masih berleluasa dan meningkat. Tidak ada tanda-tanda ia akan menurun walaupun hukuman mati dilaksanakan dengan pelbagai cara yang mengerikan.
Di Amerika Syarikat misalnya, hukuman mati dijalankan melalui suntikan, kerusi elektrik dan gas beracun, tetapi jenayah masih sahaja wujud di negara tersebut.
Jika kita rajin untuk Google dan cari apa sahaja berkaitan dengan hukuman mati, tidak akan dijumpai walau satu kajian atau bukti bahawa hukuman mati dapat mengurangkan kadar jenayah di sesebuah negara.
Datanglah dari sumber mana pun, semuanya tidak dapat membuktikan “khurafat” tentang hukuman mati ini (dah nama pun khurafat, mana boleh dibuktikan macam kes minta izin datuk nenek tu).
Jadi adakah hukuman mati ini wajar dihapuskan kerana ia terbukti tidak berkesan untuk mengurangkan jenayah?
Seperti khurafat meminta izin datuk nenek, jika ia tidak memberi sebarang kesan atau manfaat, tidak rugi atau salah jika ia tidak diamalkan lagi.
Tetapi adakah kita akan membiarkan sahaja penjenayah bebas daripada rasa takut dihukum dan akhirnya keselamatan kita dan keluarga terancam?
Punca seseorang melakukan jenayah perlu dikenal pasti dan diatasi dengan jalan yang lebih berkesan. Seseorang sanggup mengedar dadah untuk menyara kehidupan keluarga meskipun berdepan risiko ditangkap dan dihukum gantung.
Jadi, memperbaiki taraf sosio ekonomi dan mendidik masyarakat adalah fokus utama yang boleh mempengaruhi pengurangan kadar jenayah selain mereformasi sistem rehabilitasi di negara ini.
Tidak dapat dinafikan kes jenayah yang melibatkan pembunuhan kejam seperti Suzaily Mokthar, Canny Ong dan adik Nurin Jazlin memerlukan keadilan dan hukuman setimpal ke atas penjenayah terlibat.
Akan tetapi lebih penting untuk kita pada hari ini ialah apakah yang perlu kita lakukan supaya masyarakat tidak lagi melahirkan penjenayah kejam seperti ini?
Seperti meminta izin datuk nenek sebelum membuang hajat, khurafat ini hanya boleh tinggal dalam lipatan sejarah sekiranya kita tidak lagi mengamalkannya dengan pendidikan terus-menerus bahawa meminta izin daripada mereka yang telah mati sebelum kencing tidaklah mendatangkan sebarang mudarat atau kebaikan.
Barangkali, ia cuma diamalkan sebagai tanda hormat sebelum melepaskan hajat di tempat selain dari di dalam tandas.
Akhirnya, kita juga terpaksa menerima hakikat dan kenyataan bahawa hukuman mati, selain diamalkan atas nama menuntut keadilan, tidak dapat mengurangkan kes jenayah mahupun menakutkan seseorang daripada melakukan perbuatan jenayah!
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.