PKR: Lawatan Azizah ke Sarawak tiada kaitan pemilihan parti

PKR: Lawatan Azizah ke Sarawak tiada kaitan pemilihan parti

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR berkata, lawatan Wan Azizah Wan Ismail ke Julau, Ahad lalu dibuat atas kapasitinya sebagai timbalan perdana menteri.

Wan Azizah Wan Ismail (kiri) beramah mesra dengan gadis berpakaian Iban, ketika melawat Rumah Panjang Rengayan Ng Ruyak, semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR menafikan lawatan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke Julau, Sarawak, semalam ada kaitan dengan pemilihan parti yang bakal berlangsung hujung minggu ini.

Pengerusi JPP, Datuk Rashid Din berkata, lawatan itu dibuat atas kapasiti Wan Azizah selaku timbalan perdana menteri.

“Kalau pergi atas sebab-sebab ada pemilihan parti di sana, dia mesti akan maklum kepada saya. Saya JPP, saya yang bertanggungjawab untuk menjalankan pemilihan itu.

“Kalau beliau bawa Rafizi Ramli atau (Datuk Seri) Azmin Ali, itu barulah atas dasar parti,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Beliau mengulas kritikan Ahli Jawatankuasa Pusat PKR, Latheefa Koya yang mempersoalkan lawatan Wan Azizah itu tidak wajar.

“Tiada alasan yang dapat difikirkan mengapa Wan Azizah mesti buat lawatan itu menjelang pemilihan PKR di Sarawak.

“Kenapa timbalan perdana menteri tidak melawat selepas pemilihan parti?” soalnya dalam kenyataan hari ini sambil mendakwa lawatan itu membabitkan penggunaan aset kerajaan dan Wan Azizah turut mengumumkan peruntukan RM100,000 untuk membina jalan ke Rumah Rengayan di Julau.

Rashid berkata, lawatan itu tidak melanggar peraturan PKR dan ia tidak patut dipersoalkan kerana Wan Azizah tidak berkempen untuk mana-mana pihak.

“Beliau bukan pergi kempen untuk dirinya, beliau tidak bertanding pun dalam parti. Suaminya (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga sudah menang jawatan presiden PKR tanpa bertanding.”

Pemilihan PKR di Sarawak akan diadakan 10 November ini dengan tumpuan kepada bahagian Julau dan Lubok Antu.

Sementara itu, Setiausaha JPP, Ismail Yusof berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung dakwaan calon timbalan presiden PKR, Rafizi diserang dalam pemilihan parti di Sabah, Sabtu lalu.

“Kalau ada terima aduan, terima surat rasmi, baru kita akan buat siasatan,” katanya kepada FMT.

Media sebelum ini melaporkan Rafizi diejek sekumpulan lelaki, ketika beliau menjelaskan sesuatu kepada seorang wanita di pusat mengundi Keningau.

Keadaan bertambah buruk apabila beberapa individu memasuki pusat mengundi itu dan mengoyakkan jaring dawai pada dinding bangunan.

Sumber parti mengatakan Rafizi “ditumbuk” di belakang badannya, selepas beliau cuba bersemuka dengan sekumpulan lelaki yang mahu bertengkar dengannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.