ICERD: Bukan satu triti yang mencengkam

Beberapa negara turut mengongsi kebimbangan Malaysia mengenai hak penduduk asal, tetapi pada masa sama turut menjadi negara anggota ICERD.

PETALING JAYA: Dengan bantahah kuat daripada kumpulan orang Melayu dan Islam terhadap kemungkinan kerajaan Malaysia meratifikasi konvensyen menentang diskriminasi kaum, mungkin ramai terlupa banyak negara majoriti bukan Islam turut menaruh keraguan terhadap beberapa seksyen triti itu walaupun mereka menandatanganinya.

Switzerland dan Monaco misalnya, menetapkan hak untuk mengguna pakai prinsip undang-undang sendiri berhubung kemasukan orang asing ke pasaran buruh mereka, sementara Britain pula tidak menganggap undang-undang imigrasinya merupakan satu bentuk diskriminasi kaum.

Israel, China, India, Vietnam, Thailand dan Cuba adalah antara negara yang tidak melihat diri mereka terikat dengan peruntukan yang membenarkan pertikaian berhubung tafsiran konvensyen itu dirujukkan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Antigua dan Barbuda, Kepulauan Bahama, Barbados, Fiji, Nepal, Papua New Guinea, Thailand dan Britain menafsirkan bahawa perjanjian itu mewujudkan obligasi ke arah pengambilan langkah terhadap jenayah kebencian hanya apabila keadaan memerlukan.

Malah, penerimaan bersyarat terhadap bahagian-bahagian Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) adalah dibenarkan selagi ia “tidak bercanggah dengan matlamat dan tujuan” triti itu.

ICERD diluluskan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 1965. Malaysia merupakan salah satu negara yang masih tidak menandatangani triti berkenaan. Ini umumnya disebabkan kebimbangan bahawa ia bertentangan dengan Perkara 153 perlembagaan persekutuan, yang merupakan asas bagi dasar afirmatif yang melindungi orang Melayu dan Bumiputera lain.

Pihak-pihak yang menandatangani ICERD sebenarnya dibenarkan – “jika keadaan menghendaki” – melaksanakan “dasar diskriminasi positif” untuk kumpulan kaum tertentu bagi menjamin “terlaksananya hak asasi manusia dan kebebasan asasi yang adil dan sepenuhnya”.

Bagaimanapun triti tersebut mewajibkan penandatangan “mengambil semua langkah sesuai dan tanpa lengah bagi melaksanakan dasar penghapusan diskriminasi kaum dalam semua bentuknya”.

Beberapa negara turut mengongsi kebimbangan Malaysia mengenai hak penduduk asal, tetapi pada masa sama turut menjadi anggota negara ICERD. Antaranya ialah Tonga dan Fiji yang mempertahankan hak untuk memberi milik tanah yang dimiliki penduduk asalnya.

Malaysia juga menjadi seperti kera sumbang dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam, yang kebanyakannya telah meratifikasi konvensyen tersebut tanpa syarat.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu bahawa kerajaan pimpinan beliau mahu meratifikasi ICERD setelah berunding dengan “semua pihak”. Kenyataan itu tidaklah terlalu berbeza daripada kenyataan yang dibuatnya di perhimpunan agung PBB September lepas. Katanya, Malaysia akan meratifikasi semua baki konvensyen PBB, tetapi hanya selepas diadakan rundingan mengenainya.

Triti PBB lain yang masih tidak ditandatangani oleh Malaysia adalah Konvenan Hak Sivil dan Politik, Konvenan Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya, Konvenan Perlindungan Hak Semua Pekerja Migran dan Anggota Keluarga Mereka, Konvenan Perlindungan Semua Orang Daripada Penghilangan Paksa, Konvenan Mengenai Status Pelarian dan Konvenan Mengenai Penyiksaan dan Layanan serta Hukuman Zalim, Tidak Berperikemanusiaan dan Menjatuhkan Maruah.

ICERD mendapat perhatian di Dewan rakyat bulan lepas apabila Ahli Parlimen Umno, Khairy Jamaluddin menyebut tentang percanggahannya dengan perlembagaan persekutuan.

Sebilangan anggota pentadbiran Dr Mahathir seperti Syed Saddiq Syed Abd Rahman, menggesa ICERD ditolak sekiranya didapati ia menghakis kuasa Raja-raja, kedudukan Islam dan peruntukan perlembagaan lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy, yang menyokong ICERD berkata, beliau percaya triti berkenaan tidak melanggar perlembagaan. Katanya kepada FMT, beliau tidak melihat dasar afirmatif sebagai diskriminasi kaum.

Khamis lepas di Geneva, delegasi Malaysia ke program Semakan Berkala Antarabangsa PBB, mengesahkan keputusan kerajaan untuk meratifikasi ICERD dan triti mengenai hak PBB yang lain.