
Hamil kali pertama pasti sangat mengujakan. Keluarga dan rakan-rakan yang sudah punya pengalaman pasti akan mula memberi nasihat dan pantang larang kehamilan. Hati-hati dengan ‘dos and don’ts’ yang disampaikan dari mulut ke mulut, takut nanti anda terlepas keseronokan sebenar kehamilan.
Makan untuk bayi dalam kandungan
Hamil bukan bermaksud anda perlu menggandakan kuantiti makanan yang anda ambil. Ia sebenarnya peringatan untuk memastikan anda mendapat nutrisi yang betul bagi anda dan bayi yang bakal lahir. Jaga diet anda atau anda akan hanya berdepan risiko penyakit seperti preeclampsia dan diabetes semasa mengandung (gestational diabetes).
Jangan cuba jadi doktor sendiri
Sekiranya anda ingin mengambil sebarang ubat-ubatan yang diambil sepanjang tempoh kehamilan, dapatkan nasihat dari doktor bertauliah. Para ibu, jangan pandai-pandai ya!
Tidak mendapat rehat secukupnya
Sesibuk mana pun anda, pastikan anda mendapat rehat yang mencukupi. Paling kurang, anda perlukan power nap. Tapi jangan pula terlebih tidur.
Saya mengidam…
Tidak menjadi kesalahan sekiranya anda mengidam itu dan ini, tetapi pastikan ia berpada-pada. Sekiranya anda mengidam sesuatu yang manis dan pengambilan makanan tersebut secara berlebihan hanya akan memudaratkan anda dan juga bayi, baik lupakan saja.
Malas bergerak
Perubahan hormon dan juga keadaan fizikal mungkin akan membuatkan anda lebih selesa berada diatas katil sepanjang hari. Tapi awas, ia boleh membuat anda lebih stress. Cara terbaik adalah memastikan anda bergerak aktif. Berjalan di taman sambil menghirup udara segar boleh memulihkan letih tubuh. Shopping juga tidak salah!