
Lim Chin Hoang, 18; Wong Jiunn Woei, 18; Ko Boon Hao, 20, dan Lom Zhi Hao, 23, serta 4 remaja lain berusia antara 15 dan 17 tahun, mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Azureen Sahira Saufee Afandi.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Pada 11 Nov lepas, semua tertuduh didakwa berhimpun secara haram dan melaksanakan tujuan bersama iaitu bunuh sehingga menyebabkan kematian Chia Min Yong, 21.
Semua mereka didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kuo Kuang 1, Taman Ungku Tun Aminah, pada pukul 12.30 tengah hari.
Kelapan-lapan mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh dihukum mati.
Sementara itu, seorang daripada tertuduh, Chin Hoang turut didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas Heng Wei Lun, 15, menggunakan sebilah pisau pada hari, tempat dan waktu yang sama.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana 2 daripada hukuman tersebut.
Majistret kemudiannya menetap kes disebut semula pada 19 Dis tahun ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Jalil Salam Muhamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu di kamar berasingan, 6 lelaki termasuk 4 remaja berusia antara 14 dan 15 tahun, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyertai rusuhan dan memiliki benda yang memudaratkan seperti senjata untuk menyerang.
Tay Boon Lay dan Ooi Boon Jet, kedua-duanya 18 tahun beserta 4 remaja lain membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Noor Aisyah Ahmad ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam Mandarin.
Semua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Taman Ungku Tun Aminah, pada 12.30 tengah hari, 11 Nov lepas.
Keenam-enam tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 5 tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Kes dibawa oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan kesemua mereka tidak diwakili peguam.
Majistret mengarahkan kes disebut semula pada 19 Dis ini.