
KOTA PALU (Sulawesi): Gempa bumi dan tsunami yang menimpa masyarakat Palu sejak 28 September lepas, sedikit pun tidak mematahkan semangat mereka untuk meraikan Maulidur Rasul hari ini, walaupun dalam keadaan serba sederhana.
Kejadian gempa bumi kuat dan tsunami itu dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya 2,000 penduduk.
Masyarakat Kota Palu yang majoriti penduduknya beragama Islam menganggap bencana yang menimpa mereka itu sebahagian ujian Allah untuk menjadikan mereka insan lebih baik.
Seorang penduduk tempatan, Vania Qanita Damayanti, 17, berkata sambutan kali ini tidak sama seperti tahun lepas yang disambut meriah dengan berarak sambil berselawat mengelilingi bandar.
“Namun, pada tahun ini, sambutannya kurang meriah kerana kebanyakan mangsa masih terkesan dengan apa yang berlaku tempoh hari.
“Kita hanya menyambutnya secara ringkas dengan berselawat kepada Nabi, di samping menyedekahkan bacaan Yasin kepada mangsa yang terkorban dalam bencana ini,” katanya kepada Bernama di khemah sementara perkampungan Kabonena di sini, pada Selasa.
Tinjauan Bernama mendapati selain aktiviti berselawat serta berzikir, sambutan itu turut diselitkan program pemulihan trauma kepada mangsa bencana, terutamanya kanak-kanak yang diselia pasukan Sukarelawan Sulawesi Tengah (Relawan Sulteng).
Sementara itu, bagi Relawan Sulteng, Risnawati, 38, beliau bersama kumpulannya hadir ke khemah itu bagi memberi suntikan semangat kepada kanak-kanak agar kembali pulih seperti biasa.
“Hari ini kita menyambut Maulidur Rasul dalam keadaan sederhana, namun kanak-kanak di sini sentiasa bersemangat ketika memuji nama baginda Rasulullah.
“Di samping itu, kita selitkan program pemulihan trauma bagi mengembalikan semangat mereka untuk bangkit semula daripada dugaan hidup yang mencabar ini,” katanya.
Risnawati berkata, acara kemuncak sambutan itu ialah makan beramai-ramai lauk tradisi setiap kali sambutan ini diadakan.
“Jagung, keledek dan Gamik, iaitu campuran kelapa, cili dan mangga menjadi menu wajib yang ada ketika sambutan maulidur ini…dengan aktiviti seperti ini, ia dapat merapatkan hubungan satu sama lain.”
Risnawati berharap semangat masyarakat Palu akan kembali pulih supaya sambutan Maulidur Rasul akan datang lebih meriah tanpa melupakan tragedi ini.