Pendidikan seks masih menjadi satu subjek tabu bagi ibu bapa di Malaysia, sedangkan agama Islam sendiri mengalakkan anak-anak dididik dengan asas pengetahuan seks.

Pendidikan seks sepatutnya diutamakan dalam kalangan kanak-kanak agar mereka tahu melindungi diri mereka sendiri dari gangguan seksual.

Seorang sarjana Islam terkenal, Imam Al-Ghazali misalnya menulis beberapa buku menyebut pendidikan seks, perkahwinan dan seksualiti dalam Islam.

Jadi, sampai bila anda sebagai ibu bapa malu untuk bercakap mengenai seks dan menyorokkan pertanyaan ini kepada anak-anak?

FMT Ohsem memetik 7 tips mengenai pendidikan seks menurut Islam seperti yang dikongsi oleh pakar psikologi, Zulia Ilmawati dalam theasianparent.com.

Tanamkan rasa malu dalam diri anak-anak

Perasaan malu perlu ada dalam diri anak-anak sejak mereka kecil lagi.
Contohnya, jangan biasakan anak bertelanjang di hadapan orang selepas mandi, menukar baju dan sebagainya.

Asingkan tempat tidur

Pada umur 7 hingga 10 tahun, anak-anak akan mengalami perkembangan yang cepat dan mula meneroka dunia luar. Sifat ingin tahu juga semakin meningkat.
Oleh sebab itu, penting bagi ibu bapa untuk mengasingkan tempat tidur anak lelaki dan perempuan seawal usia ini supaya mereka tahu perbezaan dan batas antara lelaki dan perempuan.

Penjagaan kebersihan alat sulit

Ibu bapa perlu mengajar anak untuk menjaga kebersihan alat sulit agar sentiasa bersih dan belajar membuang air dengan betul.
Dengan itu, ia akan mendidik mereka untuk berdikari, menjaga kebersihan dan berdisiplin.

Kenali mahram mereka

Dalam Islam, seorang perempuan tidak boleh menikah dengan lelaki mahramnya.
Ibu bapalah yang bertanggunjawab memperkenalkan anak mengenai hubungan mahram supaya mereka dapat menjaga batas pergaulan seharian.

Menjaga pandangan mata

Di dalam Al-Quran, kaum lelaki disuruh untuk menundukkan pandangan mereka terlebih dahulu sebelum menyuruh wanita itu menutup aurat.
Fitrah manusia memang akan tertarik dengan jantina yang berbeza, tetapi fitrah itu perlu dijaga untuk mengelakkan perkara buruk terjadi.

Didik anak untuk tidak berkhalwat

Khalwat adalah apabila lelaki dan wanita yang bukan mahram duduk berdua-duaan di satu tempat sehingga boleh menimbulkan fitnah.
Didiklah anak anda dari kecil untuk tidak mendekatkan diri dengan perkara-perkara yang boleh mejurus pada khalwat.

Ihtilam dan haid

Ihtilam adalah tanda baligh bagi anak lelaki dan haid untuk anak perempuan. Persiapkan anak anda dengan ilmu selepas akhil baligh seperti mandi wajib dan menjaga kelakuan diri mereka.