Menteri: Belia enggan kerja sektor 3D kerana gaji rendah

Menteri: Belia enggan kerja sektor 3D kerana gaji rendah

M Kula Segaran berkata sekiranya gaji sektor 3D dapat ditingkatkan, berkemungkinan besar belia mahu bekerja dalam sektor itu.

Antara pekerjaan sektor 3D (dirty, difficult, dangerous) ialah bahagian pembersihan dan mengutip buah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Belia tidak mahu bekerja dalam sektor 3D (dirty, difficult, dangerous) kerana gaji yang ditawarkan rendah, kata Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran.

Beliau berkata, sekiranya gaji sektor 3D dapat ditingkatkan, berkemungkinan besar belia mahu bekerja dalam sektor itu.

“Tetapi masa ini nak tingkatkan produktiviti untuk dapatkan gaji lebih bukan senang.

“Ramai juga tidak setuju kenapa ramai rakyat Malaysia kerja di Singapura dan Australia. Bekas menteri pun tahu kerana bayaran lumayan,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (Umno-Rembau) yang meminta Kula Segaran menjawab adakah beliau setuju antara punca berlakunya pengangguran dalam kalangan belia adalah disebabkan gaji sektor 3D terlalu rendah.

Khairy berkata banyak pihak mengatakan rakyat Malaysia sanggup bekerja dalam sektor 3D di Singapura dan kerja kutip epal dan ceri di Australia disebabkan gaji yang ditawarkan tinggi.

Beliau turut minta pandangan Kula Segaran sama ada gaji minimum dalam sektor 3D dinaikkan atau hanya sesuai untuk pekerja asing sahaja.

Kula Segaran berkata kerajaan sedang mengkaji kemungkinan membawa balik mereka yang bekerja di Singapura dan Australia dalam sektor 3D.

“3D bagus dan patut beri perhatian kerana lebih 2 juta rakyat asing kerja di sektor tersebut. Kalau gaji naik, lain-lain insentif diberi, saya percaya ramai mereka di luar negara balik kerja di sini,” katanya.

Sebelum itu, Kula Segaran berkata jumlah pengangguran belia adalah 516,400 orang iaitu yang berumur 15 hingga 24 tahun. Manakala, graduan yang menganggur pada 2018 ialah seramai 140,977 orang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.