
Beliau berkata, akta berkenaan sudah tidak releven pada masa ini berikutan kebanyakan pihak yang disabitkan kesalahan di bawah undang-undang itu tidak mengancam ketenteraman masyarakat.
“Sebaliknya akta ini digunakan oleh pihak berkuasa untuk menindas dan menghalang rakyat membuat teguran dan bantahan yang mempunyai asas sahih,” katanya ketika dihubungi FMT.
Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 3 bulan serta denda RM1,800 terhadap Tian Chua kerana mengeluarkan kenyataan dikatakan berbaur hasutan, 5 tahun lalu.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan untuk melepas dan membebaskan bekas Ahli Parlimen Batu itu selepas membenarkan rayuannya.
Pada 28 September 2016, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara 3 bulan dan denda RM1,800 ke atas Tian Chua selepas didapati bersalah menyebut kata-kata menghasut bagi membangkitkan semangat rakyat negara ini dalam satu ceramah supaya mengubah kerajaan yang tertubuh mengikut undang-undang, dengan cara yang tidak sah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Jalan Maharajalela, Dang Wangi di sini antara pukul 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei 2013.
Dalam pada itu, Tian Chua berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini sedang berusaha menyemak semula akta itu.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada peguam yang berusaha sekian lama untuk membela dan mempertahankan beliau.
“Untuk selesaikan kes ini, saya rasa lega sekarang kes ini, saya menang. Berasas kepada keputusan mahkamah menyatakan secara jelas bahawa Akta Hasutan ini tidak sepatutnya menyekat hak bersuara.
“Segala tuduhan bahawa saya menghasut adalah bersifat jenayah tidak benar dan saya dibebaskan,” katanya.
Pada 8 Oktober lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak menetapkan had masa tertentu bagi menghapuskan Akta Hasutan 1948 kerana ia mesti dibentangkan di Parlimen terlebih dulu.
Beliau berkata, buat masa ini, kerajaan tidak mempunyai majoriti 2/3, maka ia akan mengambil masa untuk akta itu dihapuskan.
Sebelum pilihan raya umum ke-14, 9 Mei lalu, PH berikrar menghapuskan beberapa úndang-undang yang dikatakan menindas, termasuk Akta Hasutan 1948.