
“Artis sendu….”
“Kunyit…”
“Membawang…. ”
Jika anda seorang yang sangat terikat kepada penggunaan bahasa yang betul, tentu perkataan di atas sesuatu yang baharu dan tidak disenangi. Mungkin tidak kerana perkataan-perkataan tersebut semakin tular dalam perbualan sehari-harian.
Seperti mana perkataan seperti ‘aiyoh’ dan ‘yolo’ dimasukkan dalam kamus Oxford, terdapat beberapa juga perkataan Bahasa Melayu yang mungkin anda tak pernah fikir sebenarnya termasuk dalam Senarai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Ini termasuk perkataan ‘sendu’. Mari kita lihat perkataan tersebut dan maknanya.
1. Sendu
Perkataan ini dipopularkan oleh bekas guru bahasa Melayu dan jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida ketika rancangan Gegar Vaganza musim ke-4 yang lalu. Tahukah anda sendu sememangnya perkataan bahasa Melayu yang membawa maksud sedih dan pilu? Ia sinonim dengan duka, lara, murung dan duka. Hmm, apa kena-mengena perkataan itu dengan artis?
2. Gostan
Perkataan yang digunakan untuk mengundurkan kereta. Perkataan ini terdapat dalam DBP dan dijelaskan sebagai undur ke belakang.
3. Jambu
Satu lagi perkataan yang popular atas sebab negatif merujuk kepada lelaki yang pentingkan perwatakan. Menurut DBP, jambu selain merujuk kepada buah, ia juga bermakna sesuatu yang cantik dan lawa. Jadi penggunaan itu tidak salah.
4. Pokai
Lazimnya dirujuk kepada mereka yang tidak berwang atau kehabisan duit, perkataan pokai turut ditemui dalam DBP, Kamus Pelajar Edisi Kedua. “Hujung bulan, pokailah saya!,” contoh ayat tersebut.
5. Alamak
Perkataan ‘alamak’ juga didapati wujud dalam kamus DBP. Ia adalah singkatan kepada istilah ‘alah mak’ yang digunakan oleh orang dulu. Ia mungkin menjadi pertuturan yang digunakan secara sopan untuk mengeluh pada ibu.
6. Tapau
Perkataan Melayu dicampur dengan bahasa Cina ini juga dimuatkan dalam kamus tatabahasa Melayu. Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, tapau ialah perbuatan membungkus makanan utk dibawa pulang.
7. Awek
Rupanya perkataan ‘awek’ pun merupakan istilah rasmi yang wujud dalam DBP. Ia merujuk kepada mana-mana gadis, lazimnya yang cantik atau menawan dan menarik perhatian. Perkataan ini juga dimuatkan dalam Kamus Dewan Edisi ke-4.
8. Kacang
“Alah, kacang betul kira-kira ini!” Pernahkah anda dengar penggunaan perkataan kacang dalam konteks yang berbeza selain sebagai tumbuhan atau makanan? Mungkin sudah terlalu biasa. Slang ‘kacang’ yang merujuk kepada perbuatan yang kita rasakan mudah juga ada dalam senarai DBP. Dan bila ditambah imbuhan, ‘memperkacangkan’ pula membawa makna melakukan sesuatu dengan sesuka hati atau sewenang-wenangnya.
9. Bohsia/Bohjan
Istilah yang pernah dipopularkan pada awal tahun 90an ini merupakan gelaran yang diberikan kepada remaja lelaki atau perempuan yang suka melepak, berpelesiran, berfoya-foya, dan sering terlibat dlm kegiatan maksiat. Perkataan ini juga dimasukkan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat
10. Ngam
“Ngam-ngam 200 gram!”, maksudnya tepat, cukup, cocok atau sepadan. Walaupun ia kategori perkataan slanga tetapi ia juga termasukd alam kamus DBP
Ada banyak lagi bahasa slanga yang popular digunakan dalam percakapan harian namun bukan semua yang dimasukkan dalam kamus tatabahasa, DBP. Jadi selalulah periksa DBP kalau nak tahu perkataan yang sah digunakan dan sebaliknya.
Antara perkataan yang tidak terdapat dalam DBP buat masa ini ialah seperti kekwat (berlagak), over (melebih, rasa hebat), poyo ( kurang disenangi), songlap (curi), taiko (gangster) dan banyak lagi!