
Pelantikan kedua-dua tokoh itu dibuat Kementerian Pendidikan dan diumumkan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin pada Majlis Konvokesyen UMS ke-20, hari ini.
Surat watikah pelantikan kepada kedua-dua pro-canselor UMS baharu itu disampaikan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin merangkap canselor UMS di depan 793 graduan pada sidang pertama konvokesyen itu.
Terdahulu, Juhar dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada Shafie dan Azman atas pelantikan sebagai pro-canselor UMS baharu dan berharap kepimpinan kedua-dua tokoh itu akan terus memacu kecemerlangan universiti.
“Semoga dengan kepimpinan mereka, UMS akan terus cemerlang,” katanya.
Juhar turut mengingatkan graduan menjauhkan sikap malas yang akan menjadikan seseorang lemah serta gagal menyumbang tenaga dan kemajuan untuk diri sendiri, keluarga dan negara.
“Graduan adalah cerminan masa depan yang akan menjadi pewaris kepada kepimpinan sedia ada untuk meneruskan kegemilangan negeri dan negara tercinta.
“Apabila graduan mempunyai kerjaya, galas tanggungjawab dengan penuh amanah kerana Malaysia Baharu memerlukan tenaga segar, tangkas dan mantap, selain negara juga sangat memerlukan tenaga kerja kreatif dan inovatif.”
Beliau juga mengingatkan graduan terus mencari ruang dan peluang memajukan diri, selain menerapkan sikap merendah diri serta bersaing secara sihat tanpa perasaan iri hati.
Seramai 5,003 graduan akan menerima ijazah doktor falsafah, ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma pada majlis konvokesyen itu.