
Wan Saiful berkata, kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengapi-apikan perpecahan agama sebegitu amat berbahaya dan merupakan petanda Umno dalam keadaan terdesak.
“Apakah Zahid mahu menjadi tuhan yang boleh menghakimi agama seseorang pula? Semasa berkuasa dahulu dan dikelilingi perasuah berbilion-bilion, adakah Zahid tanya sejauh mana diri dia sendiri beramal sebagai seorang Muslim yang sewajibnya mencegah kemungkaran?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Zahid Hamidi mempersoalkan kewajaran Saifuddin mahu kerajaan meratifikasi konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu sedangkan dirinya beragama Islam.
Zahid berkata, isu ICERD bukanlah isu politik, tetapi isu mempertahankan peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan negara.
“Pula tu menteri luar negeri, pertahankan ratifikasi, kerana gerakan reformasi. Eh kamu ni orang Islam ke orang apa hah? Ini bukan soal politik, tak. Kita hanya menuntut apa dalam perlembagaan, itu kita mahu pertahankan. Betul?” kata Zahid.
Wan Saiful berkata, sekiranya berlaku pertelagahan kaum dan agama, yang akan mendapat manfaat hanyalah Zahid dan Umno kerana mungkin ini sahajalah langkah yang boleh dilakukan untuk mengalih pandangan rakyat daripada kes mahkamah yang mungkin membawa beliau ke penjara tidak lama lagi.
“Zahid, bertaubatlah. Cukup-cukuplah kerosakan yang dilakukan. Jangan bawa perpecahan yang lebih buruk kepada negara, semata-mata untuk kepentingan diri sendiri,” kata Wan Saiful lagi.
Pada Julai lalu, Saifuddin berjanji untuk berusaha meratifikasi 6 konvensyen hak asasi manusia antarabangsa yang masih belum ditandatangani oleh Malaysia.
Bagimanapun Jumaat lepas, Pejabat Perdana Menteri mengesahkan kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD, sebaliknya akan terus mempertahankan perlembagaan Persekutuan.